Majikan gagal patuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990

Share on facebook
Share on twitter
Share on email
Share on whatsapp

Putrajaya: Beberapa syarikat, termasuk pengeluar sarung tangan getah, yang gagal mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) bakal berdepan 63 pertuduhan, kata Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) Asri Ab Rahman.

Beliau berkata selain pengeluar sarung tangan getah, beberapa syarikat daripada sektor pembinaan dan pembuatan bakal berdepan pertuduhan itu susulan operasi penguatkuasaan di Perak, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan dan Johor pada 26 November lalu.

Katanya antara kesalahan yang dikesan ialah gagal memohon Perakuan Penginapan di bawah Seksyen 24D Akta 446, keadaan penginapan dan asrama yang padat, tidak selesa, tiada pengudaraan dan bangunan yang digunakan tidak mematuhi undang-undang pihak berkuasa tempatan selain tiada Sijil Perakuan Kelayakan
(CF) untuk menduduki.

Turut dikesan kediaman berkeluasan 800 kaki persegi yang sepatutnya memuatkan enam orang namun siasatan
menunjukkan bahawa ia telah dihuni oleh 20 individu.

“Tindakan ini adalah kenyataan tegas bahawa Kementerian Sumber Manusia tidak akan sesekali berkompromi dengan syarikat yang melanggar Akta 446 atau Akta Kerja 1955,” katanya dalam sidang media di sini.

Asri berkata operasi itu memeriksa sejumlah 24,000 majikan dalam pelbagai sektor antaranya pengeluaran sarung tangan getah, pembuatan, pembinaan, elektrik dan elektronik, perkhidmatan serta perladangan yang menyaksikan hanya kira-kira 30 peratus mematuhi Akta 446.

“Sektor perladangan didapati antara yang menyediakan penginapan terbaik,” katanya.

Operasi penguatkuasaan JTKSM dilakukan ekoran terdapat kluster COVID-19 berkaitan tempat kerja melibatkan warga asing antaranya Kluster Teratai yang dikesan pada 7 November lepas dan setakat semalam, telah merekodkan 4,278 kes.

Beliau berkata, Akta 446 yang sepatutnya dikuatkuasakan pada Jun 2020 namun diberi ‘kelonggaran’ sehingga 1 September lepas, adalah penting dalam mengekang penularan pandemik COVID-19.

Katanya kerajaan bimbang ketidakpatuhan majikan akan menyebabkan penginapan yang disediakan untuk pekerja asing akan menjadi tempat penyakit merebak dan kedudukan Malaysia dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara Amerika Syarikat (JNAS), ketika ini di Tahap 2 Pemerhatian, jatuh ke kedudukan yang buruk.

Asri berkata majikan dan penyedia penginapan berpusat perlu segera memohon Perakuan Penginapan kerana JTKSM hanya menerima 665 permohonan daripada 54,000 majikan yang menyediakan kemudahan itu untuk pekerja masing-masing.

Katanya JTKSM menyasarkan 54,000 majikan memohon Perakuan Penginapan menjelang akhir 2021.

Sumber: BERNAMA

Malay News
National Desk