Majikan perlu tanggung langgar SOP PKP, bukan pekerja – MTUC

fahmy.azril@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menuntut pengurusan kilang pembuatan plastik di Petaling Jaya di sini, bertanggungjawab sepenuhnya atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sehingga menyebabkan beberapa pekerja turut dikompaun.

Pemangku Presidennya, Mohd Effendy Abdul Ghani, menyifatkan tindakan kompaun yang dikenakan terhadap lapan pekerja itu sebagai tidak adil dan satu penindasan.

Beliau turut menggesa supaya kompaun yang dikenakan terhadap pekerja itu ditarik balik dan dibatalkan.

“MTUC terkejut laporan media yang memaklumkan tindakan pihak pengurusan sebuah kilang pembuatan plastik di Taman Medan yang melanggar SOP PKP menyebabkan seorang penyelia dan lapan pekerja dikompaun setiap seorang.

“Tindakan itu adalah tidak adil dan satu penindasan terhadap pekerja kilang berkenaan. Sewajarnya, pihak majikan perlu dipertanggungjawabkan sepenuhnya di atas pelanggaran SOP PKP dan wajar dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Effendy berkata, pihaknya berpendirian isu pelanggaran SOP itu bukan kesalahan pekerja kerana mereka tiada kawalan terhadap waktu kerja yang ditetapkan oleh pengurusan kilang berkenaan.

“Pihak pengurusan kilang itu perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang tindakan yang dikenakan, termasuk kompaun.

“Pekerja hanya menjalankan kerja mereka mengikut arahan pihak kilang demi kelangsungan hidup, pekerjaan dan pendapatan mereka.

Tindakan tegas perlu diambil dan dikenakan terhadap pengurusan kilang yang mengambil kesempatan terhadap pekerja dan bukanlah menjadikan pekerja sebagai mangsa keadaan,” katanya.

BH hari ini melaporkan, polis mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pemilik sebuah kilang pembuatan plastik di Taman Medan kerana melanggar SOP PKP 3.0 dengan beroperasi melebihi masa ditetapkan, malam tadi.

Dalam serbuan jam 10.45 malam itu, polis mendapati lapan pekerja kilang bersama seorang penyelia sedang menjalankan kerja di dalam kilang itu melebihi masa dibenarkan.

Selain kompaun dikenakan terhadap pemilik kilang, polis turut mengeluarkan kompaun RM2,000 seorang kepada lapan pekerja terdiri tujuh wanita dan seorang lelaki tempatan berusia antara 18 hingga 69 tahun.

© New Straits Times Press (M) Bhd