Majlis pembukaan AUG 2022 berlangsung meriah

Majlis pembukaan AUG 2022 berlangsung meriah

UBON RATCHATHANI: Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 membuka tirai secara rasminya pada hari ini dengan penyertaan kira-kira 5,000 peserta membabitkan 11 negara di rantau ini.

Penganjuran edisi ke-20 kali ini yang berpusat di bandar keempat terbesar di Thailand menyaksikan sebanyak 228 pingat emas menjadi rebutan kontinjen yang bertanding membabitkan 30 acara.

Pada acara pembukaan di Stadium Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat itu, pemain bola sepak negara yang juga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Muhammad Aliff Najmi Shaani dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang.

Majlis pembukaan AUG 2022 itu berlangsung meriah walaupun berlangsung pada sebelah petang dengan tuan rumah mempersembahkan pelbagai keunikan mereka.

MAJLIS perasmian Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 yang berlangsung di Universiti Ubon Ratchathani Rajabhat di Thailand.

Penyertaan Malaysia pada temasya kali ini membabitkan seramai 275 atlet daripada pelbagai universiti yang akan bertanding dalam 19 acara dengan sasaran 35 emas ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Pada temasya AUG terakhir yang dianjurkan di Nay Pyi Daw, Myanmar pada 2018, Malaysia menduduki tempat ketiga keseluruhan selepas berjaya meraih sebanyak 37 pingat emas di belakang Thailand (62) dan Indonesia (44).

Untuk rekod, penganjuran AUG 2022 sepatutnya diadakan pada 2020 namun, terpaksa ditangguhkan akibat Covid-19 dan pada tahun ini Thailand menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah kepada temasya dwi tahunan itu.

Setakat tiga hari temasya berlangsung, Malaysia telah mencatatkan keputusan positif dengan berjaya meraih 16 pingat emas, 22 perak dan 16 gangsa sekali gus memberi harapan mampu mencapai sasaran yang ditetapkan.-UTUSAN ONLINE