Saya bukan ‘katak’ lompat parti- Ibrahim Ali

KOTA BHARU : Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Ibrahim Ali menyifatkan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti sepatutnya dibentangkan semasa beliau dituduh melompat parti sehingga digelar ‘raja katak’ sekitar tahun 2005 atau 2006 lagi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, pembentangan yang dibuat secara tiba-tiba ketika ini jelas menunjukkan beliau bukan ‘katak’ sebaliknya disingkirkan daripada parti kerana lantang bersuara.

“Saya tidak melompat parti, sebaliknya dipecat dan hanya menyertai parti lain selepas saya disingkirkan. Bagaimanapun yang muncul sejak dua tahun kebelakangan ini barulah katak betul.

“Mereka ini betul-betul melompat dan gemuk. Sebab inilah RUU Anti Lompat Parti ini dibentangkan untuk menangani katak-katak gemuk,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Kebajikan Pesara Polis Negeri Kelantan (PKPPNK) Kali Pertama di Hotel GMU Firdaus, di sini, hari ini.

Ibrahim memberitahu, RUU yang telahpun dibentangkan itu bertujuan memastikan ahli-ahli Parlimen tidak mudah melompat parti untuk tujuan mencari makan, kuasa, kedudukan dan sebagainya sepertimana yang berlaku sekarang ini.

Katanya, Putra menyarankan pandangan bekas Perdana Menteri Ketujuh Tun Dr. Mahathir Mohamad turut diambil kira dalam arus perkembangan politik masa kini.

“Mahathir mengatakan perlu juga ada kaedah yang membolehkan ahli-ahli Parlimen menyokong sesebuah parti gabungan yang menang dengan majoriti kecil tanpa menjejaskan kedudukannya sebagai ahli Parlimen.

“Sesebuah parti gabungan yang menang dengan majoriti tidak besar memerlukan sokongan daripada ahli Parlimen lain. Jadi, aspek ini perlu dikaji dan diteliti kembali demi kestabilan politik dalam negara ini,” ujarnya.

Utusan Malaysia 25 Julai lalu melaporkan, bacaan kali kedua, perbahasan dan pengundian RUU Anti Lompat Parti merupakan antara agenda utama dalam aturan sidang Dewan Rakyat dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Kelima Parlimen Ke-14.

Jika diluluskan dengan sokongan dua pertiga atau 148 ahli Dewan Rakyat, RUU itu bakal melakar sejarah baharu pentas demokrasi Malaysia apabila julung kalinya negara mewujudkan satu undang-undang untuk menghalang anggota Dewan Rakyat melompat parti seperti mana keadaan itu menggugat kestabilan negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). –UTUSAN ONLINE