'Mak cik menangis, dia (Fatin) pun menangis juga' – Ibu mentua Prince Syed

'Mak cik menangis, dia (Fatin) pun menangis juga' – Ibu mentua Prince Syed

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Klang: “Mak cik lega kerana akhirnya dapat jumpa Fatin (nama panggilan anak). Dapat jumpa sekejap saja tapi jadilah untuk lepaskan rindu.”

Itu kata Aminah Haniffa, 55, yang akhirnya dapat bertemu anak, Fatin Syazwani Ishak, 27, di sebuah hospital dekat Selangor petang semalam walaupun masih berdepan kemelut dengan menantunya, Prince Syed, 33, atau nama sebenarnya, Syed Muhammad Syah Hasif Syed Othman.

Menurut Aminah, dia datang melawat jam 4 petang semalam dengan ditemani anak saudaranya yang juga sepupu Fatin Syazwani.

“Suami dan anak lain yang ikut sama ke hospital tapi mereka tunggu di bawah dan waktu sampai, Fatin tak ada lagi di katilnya kerana jumpa doktor untuk pemeriksaan.

“Tak lama selepas itu, baru dapat jumpa dan mak cik terus peluk dia. Mak cik menangis, dia pun menangis juga.

“Kemudian kami bersembang cuma Fatin banyak tunduk dan tak tengok sangat waktu cakap dengan mak cik.

“Ada tanya dia okay atau tak, dia kata okay. Mak cik sempat melawat dalam sejam, tak nak duduk lama kerana kasihan tengok dia,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Aminah berkata, sebelum beredar, dia sempat berpesan kepada Fatin Syazwani untuk menjaga diri dan memaklumkannya jika ada sebarang masalah.

“Fatin cakap nanti keluar hospital, dia balik balik kampung dengan Syed (Prince Syed) dan anak.

“Mak cik nak tunggu… tadi pun ada telefon Fatin untuk tanya khabar, sempat juga tanya keadaannya kerana sebagai ibu, mak cik nak tahu.

“Syed tak ada ketika mak cik datang melawat semalam dan sampai sekarang pun, dia tiada hubungi atau datang jumpa mak cik. Cucu pula memang tak dapat jumpa lagi” katanya.

Ditanya adakah sudah lembut hati untuk memaafkan Prince Syed, Aminah berkata, dia belum terfikir lagi soal itu.

Bagaimanapun, Aminah berterima kasih kepada warganet yang memberi sokongan kepadanya untuk kuat menempuh ujian itu.

“Terima kasih kepada semua yang doakan mak cik…tak sangka sungguh kerana mak cik ini hanya orang kampung tapi ramai ambil berat.

“Alhamdulillah, kami sekeluarga sihat dan sekarang ada di rumah saudara dekat Pelabuhan Klang,” katanya.

Kemelut Aminah dengan menantunya, Prince Syed tercetus selepas tular video wanita itu ke sebuah rumah.

Dalam video berkenaan, Aminah memaklumkan menantunya lari dan menghalang anak serta cucu berjumpa dengannya.

Aminah turut mendakwa Prince Syed berkahwin dengan Fatin Syazwani untuk menjadikan wanita itu tikus makmal dengan memaksa menjalani pembedahan bariatrik bagi menjual produk pelangsingan badan.

Keadaan jadi bertambah buruk selepas Aminah dan suami, Ishak Saif, 55, dengan dua anaknya, Muhd Syahmi Faiz, 31, juga Muhd Ikhkwan Alif, 22, didakwa menyerang Prince Syed di kawasan perumahan Taman Bertih Laut, Teluk Pulai, di sini.

Video insiden itu tular di media sosial dan Prince Syed juga tampil membuat laporan di Balai Polis Klang, di sini kelmarin bagi mempertahankan dirinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Superintendan Kamalariffin Aman Shah dilapor mengesahkan empat individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan dan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 324 dan 427 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, empat beranak yang ditahan sudah dibebaskan kira-kira jam 7 malam kelmarin.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top