am@hmetro.com.my
Sungai Petani: “Pagi tadi mak sempat hantar gambar ketika mereka hantar motosikal untuk servis di Pulau Pinang, tapi tak sangka itu gambar terakhir saya terima daripadanya sebelum kemalangan berlaku,” kata Mohd Fikri Suhaimi, 26.
Mohd Fikri adalah anak kepada pasangan suami isteri, Suhaimi Saidin, 60, dan Normah Hashim, 60, yang maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal di Kilometer 114.4 Lebuhraya Utara Selatan kawasan Tikam Batu menghala ke utara, tengah hari tadi.
Menurutnya, dia tidak menyangka pertemuan bersama kedua-dua insan tersayang itu pagi tadi ketika di rumah mereka di Taman Bandar Utama, Sungai Lalang menjadi kenangan terakhir yang akan dikenang sepanjang hayat.
Katanya, ketika kejadian kira-kira jam 2 petang, dia berada di rumah selepas pulang menunaikan solat Jumaat sebelum bergegas ke hospital sebaik dimaklumkan mengenai kemalangan itu.
“Apabila sampai di hospital, barulah saya tahu mak dan ayah sudah meninggal dunia.
“Saya memang tak sangka langsung. Pagi tadi mereka keluar seperti biasa, tak ada apa-apa yang pelik atau tanda mereka akan pergi meninggalkan kami.
“Mak ada hantar gambar ketika mereka berada di Pulau Pinang untuk servis motosikal jenis Yamaha XMAX 250. Itulah gambar terakhir daripada mak,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini hari ini.
Mohd Fikri berkata, kedua-dua ibu bapanya dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai urusan servis motosikal berkenaan.
Katanya, ibu dan bapanya memang gemar keluar berdua menaiki motosikal, selain mengambil kesempatan untuk makan dan berjalan-jalan sepanjang perjalanan.
“Sebelum ini saya sering mengingatkan mereka supaya tidak perlu pergi jauh semata-mata untuk menghantar motosikal bagi tujuan servis kerana bimbang keselamatan mereka.
“Saya selalu pesan kepada ayah, tak payahlah pergi servis jauh-jauh, buat dekat-dekat saja kerana risau bahaya.
“Tetapi mereka memang sudah biasa pergi ke sana kerana kami memang berasal dari Pulau Pinang dan motosikal pun dibeli di sana, ” katanya.
Mohd Fikri berkata, mereka seronok keluar berdua dan tak sangka kali ini perjalanan berakhir dengan tragedi seperti ini.
Menurutnya, dia dimaklumkan kedua-dua ibu bapanya mengalami kecederaan serius terutama di bahagian kepala dalam kemalangan itu.
Terdahulu, pesara polis dan isterinya dlaporkan maut dalam kemalangan di Kilometer 114.4 Lebuhraya Utara Selatan kawasan Tikam Batu menghala ke utara membabitkan sebuah kereta dan dua motosikal, hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa, Suhaimi Saidin, 64, dan isterinya, Normah Hashim, 60, dari Taman Bandar Utama, Sungai Lalang, meninggal dunia di lokasi kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




