Makna hadis syaitan kencing dalam telinga orang tidur

Makna hadis syaitan kencing dalam telinga orang tidur

– Advertisement –

Soalan:

Adakah hadis syaitan kencing dalam telinga orang tidur itu sahih dan kalau sahih apakah maknanya?

– Advertisement –

Jawapan:

Hadis yang menceritakan syaitan kencing pada telinga orang yang sedang tidur itu adalah hadis sahih.

Diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud r.a. katanya:

ذُكِرَ عِنْدَ النبيِّ صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ رَجُلٌ، فقِيلَ: ما زَالَ نَائِمًا حتَّى أَصْبَحَ، ما قَامَ إلى الصَّلَاةِ، فَقالَ: بَالَ الشَّيْطَانُ في أُذُنِهِ

Ertinya: “Disebut pada sisi Nabi sollallahu alaihi wasallam tentang seorang yang tidur ia sampai ke subuh tidak bangun ia kepada sembahyang. Maka Nabi sollallahu alaihi wasallam berkata: Syaitan telah kencing pada telinganya.” (Hadis riwayat Imam Bukhari)

Ulamak berbeda pendapat pada makna solat yang ditinggalkan dalam hadis ini.

Sebahagian ulamak berkata solat yang ditinggalkan dalam hadis ini ialah solat sunat malam dan dan sebahagian yang lain berkata solat fardu.

Berkata Syeikh Mulla Ali Al-Qari:

أَيْ: صَلَاةِ اللَّيْلِ ، أَوْ صَلَاةِ الصُّبْحِ

Ertinya: “Iaitu solat sunat malam atau solat subuh.” (Kitab Mirqah Al-Mafatih)

Berkata Al-Hafiz Imam Ibnu Hajar:

وَيُرَادُ بِهِ صَلَاةُ اللَّيْلِ أَوِ الْمَكْتُوبَةُ ، وَيُؤَيِّدُهُ رِوَايَةُ سُفْيَانَ : هَذَا عِنْدَنَا نَامَ عَنِ الْفَرِيضَة

Ertinya: “Dan dikehendaki dengannya itu ialah solat sunat malam atau solat fardu. Dan menguatkannya oleh riwayat Sufyan. Ini di sisi kami ialah tidur dari solat fardu.” (Kitab Fathu Al-Bari)

Dan tersebut pada kitab Torhu At-Tasrib:

وذهب الطحاوي رحمه الله إلى أن المقصود النوم عن صلاة العشاء

Ertinya: “Dan telah berjalan oleh Imam At-Thahawi kepada yang dimaksudkan ialah tidur dari solat Isyak.”

Dan sebahagian ulamak berkata lelaki yang dikencing dalam telinganya oleh syaitan itu ialah kerana tidur sehingga tidak solat subuh kerana berdalil dengan hadis:

من نام عن الفريضة حتى أصبح فقد بال الشيطان في أذنه

Ertinya: “Siapa yang tidur dari solat fardu sampai waktu pagi maka sungguhnya telah kencing oleh syaitan pada telinganya.” (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Setengah ulamak mengatakan perbuatan kencing pada hadis ini ialah makna haqiqi iaitu memang syaitan dari kalangan jin kencing dalam telinganya kerana tidak bangun menunaikan solat dari kerana tabiat syaitan itu makan dan minum dan berkahwin seperti manusia dan termasuk kencing berak.

Manakala setengah ulamak mengatakan maksudnya ialah majazi iaitu kiasan dari sebab lalai seorang yang asyik dengan tidurnya dia diperdayakan oleh syaitan dengan hasutannya.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 2/7/2026

– Advertisement –

Scroll to Top