Kuala Kubu Bharu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga lagi mangsa kepala air di Lata Jebus, Kampung Pertak, dekat sini, diteruskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor, kira-kira tiga kilometer (km) dari lokasi kejadian.
Baca juga: ‘Marquez setaraf Senna’ – Lorenzo
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata, pencarian tertumpu sepanjang aliran Sungai Luit dari Lata Jebus ke arah empangan berkenaan.
“Radius pencarian diperluaskan sehingga ke Empangan Sungai Selangor, meliputi kira-kira tiga kilometer sepanjang Sungai Luit dari lokasi kejadian.
“Setakat ini, lima daripada lapan mangsa yang dilaporkan dihanyutkan arus sudah ditemukan, manakala tiga lagi masih dicari,” katanya ketika ditemui di lokasi.
Terdahulu, empat mayat ditemukan pagi tadi, dengan tiga daripadanya tersangkut di tebing sungai berhampiran Jambatan Senget, kira-kira 950 meter (m) dari Lata Jebus, pada 9.20 pagi.
Satu lagi mayat ditemukan pada 10.20 pagi berhampiran sebuah jambatan gantung, kira-kira 50 m dari Jambatan Senget atau satu kilometer dari lokasi kejadian.
Operasi membawa keluar keempat-empat mayat selesai pada 11.15 pagi sebelum dibawa ke Pos Kawalan Hadapan Bomba di Kampung Pertak di sini.
Seorang lagi mangsa, lelaki tempatan berusia 36 tahun, ditemukan meninggal dunia di Jambatan Pertak kira-kira 1.30 pagi tadi.
Difahamkan, kesemua lima mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh di sini, untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, media melaporkan kejadian kepala air petang semalam menyebabkan lapan individu dilaporkan dihanyutkan arus deras di lokasi berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd