SETIAP kali mahu mandi beberapa minit sebelum berbuka puasa, ada segelintir orang terpaksa ‘berperang’ dengan perasaannya yang menegahnya untuk berbuat demikian.
Masakan tidak, sejak kecil lagi, terdapat ibu bapa melarang kita untuk mandi sebelum waktu berbuka kerana dikatakan makruh hukumnya.
Sebab itulah adakalanya apabila kita hendak berbuat demikian, rasa serba salah kerana masih terngiang-ngiang pesanan orang tua masing-masing.
Benarkah makruh hukumnya jika kita mandi sebelum berbuka puasa?
Memperincikan lanjut, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, hukum asal mandi pada bulan puasa iaitu ketika kita sedang menjalani ibadah tersebut adalah harus.

USTAZ AZHAR IDRUS
“Cuma kadang-kadang (ramai keliru sebab) kita hendak kaitkan kefahaman dengan batal (puasa apabila) masuk air (daripada rongga-rongga terbuka), itu sahaja.
“Ulama beri penerangan misalnya dalam bab wuduk, Nabi Muhammad SAW bersabda ‘Hendaklah kamu ambil wuduk dengan sempurna’ dan ‘Bersungguh-sungguh ketika berwuduk, menyela-nyela di antara jari-jemari dan hendaklah bersungguh-sungguh memasukkan air ke dalam hidung melainkan kamu berpuasa’.
“Dalam satu riwayat Imam Al-Daraqutni, ketika berkumur-kumur, kita disuruh bersungguh-sungguh berbuat demikian melainkan jika sedang berpuasa.
“Maknanya, kalau kita sedang berpuasa, tidak perlulah berlebih-lebihan dan hanya lakukan sahaja seperti biasa,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya pada Selasa.
Sama juga halnya dengan mandi yang mana ujar agamawan itu, kita diharuskan membersihkan tubuh dan jirus air seperti biasa tidak kiralah sama ada sebelum atau selepas Zuhur mahupun sebelum atau selepas Asar.
“Cuma ada sebahagian fuqaha menyebut, makruh membanyakkan mandi, bukannya (merujuk) kepada (perbuatan) mandi itu sendiri.

SAMA seperti berwuduk ketika puasa, kita diharuskan membersihkan tubuh dan jirus air seperti biasa serta berlebih-lebihan tidak kiralah sama ada sebelum atau selepas Zuhur mahupun sebelum atau selepas Asar. -Foto: CANVA
“Maksudnya, selepas dia mandi, dia mandi lagi dan mengulangnya kembali. Itu yang dipanggil membanyakkan mandi.
“Sebagai contoh, dari Asar sampai hendak dekat berbuka, tujuh kali dia mandi. Itulah yang dikatakan makruh,” terangnya panjang lebar.
Pandangan sama turut dikemukakan oleh Maktabah Albakri menerusi artikel bertajuk #872: Mandi pada siang Ramadan.
Menurut Maktabah Albakri, berdasarkan hadis yang sahih, tidak mengapa dan tidak makruh bagi orang yang berpuasa itu untuk mandi pada siang Ramadan termasuklah selepas Asar atau mana-mana waktu.
“Bagaimanapun, orang yang berpuasa itu diingatkan agar berhati-hati ketika mandi dan menjaga dengan sebaik-baiknya supaya air tidak memasuki rongga-rongganya yang terbuka hingga menyebabkan puasanya terbatal,” titipnya.