Liverpool: Pengurus Arne Slot berkata, beliau akan terkejut jika Hugo Ekitike sempat beraksi lagi musim ini selepas pemain itu terpaksa diusung keluar ketika Liverpool tewas di tangan Paris Saint-Germain dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.
Kecederaan yang kelihatan serius itu menambah derita malam buruk buat juara England apabila jaringan berganda Ousmane Dembele memastikan kemenangan 2-0 di Anfield untuk pasukan pelawat, sekali gus mara ke separuh akhir dengan agregat 4-0.
Bekas penyerang PSG itu rebah sambil memegang bahagian bawah kaki kanan, dengan disyaki mengalami koyakan tendon Achilles, kecederaan yang juga boleh menamatkan harapannya mewakili Perancis di Piala Dunia.
“Ia nampak sangat teruk, tapi sukar untuk saya katakan seteruk mana,” kata Slot.
“Esok kami akan buat pemeriksaan lanjut. Kita lihat nanti, tapi ia memang tidak kelihatan baik.”
Slot menurunkan Ekitike di bahagian serangan bersama Alexander Isak, yang membuat penampilan pertama sejak patah kaki pada Disember lalu.
Kecederaan menjadi faktor utama musim mengecewakan buat The Reds, yang kini berada di tangga kelima Liga Perdana dan dijangka menamatkan musim tanpa sebarang trofi.
“Kehilangan pemain sudah kerap berlaku musim ini, tetapi ini lebih sukar untuk dia kerana tiada siapa mahu cedera, lebih-lebih lagi di hujung musim,” tambah Slot. “Berita baiknya, Alex sudah kembali.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




