PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya kempunan untuk membawa pulang tiga mata berharga selepas kalah 2-0 kepada Thailand dalam aksi Kumpulan B Piala ASEAN 2026 di Stadium Rajamangala, Bangkok, hari ini.
Itu merupakan kekalahan pertama skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam kejohanan tersebut selepas mereka mencatat dua kemenangan ketika bertemu Myanmar dan Laos.
Dalam aksi tersebut, skuad Gajah Perang dilihat lebih banyak menguasai permainan dengan beberapa siri serangan dilancarkan terhadap pintu gol skuad kebangsaan.
Bagaimanapun, tuan rumah terpaksa menunggu sehingga minit ke-38 untuk menembusi gawang gol menerusi jaringan Yotsakorn Burapha yang menyempurnakan sepakan penalti selepas Ubaidullah Shamsul Fazili didapati mengasari Kakana Khamyok.
Teerasak Poeiphimai hampir menggandakan jaringan pada masa kecederaan babak pertama namun sepakan volinya melepasi palang berpunca daripada hantaran lintang Chaiyaphon Otton.
Thailand akhirnya berjaya memperoleh gol kedua hasil jaringan Teerasak selepas dia tidak dikawal dengan kemas oleh pemain negara dalam kotak penalti pada minit ke-56.
Kemenangan itu membolehkan Thailand mengumpul enam mata daripada dua perlawanan, mengatasi Malaysia menerusi perbezaan jaringan.
Selepas ini Malaysia akan bertemu Filipina di laman sendiri pada 8 Ogos ini bagi aksi terakhir kumpulan. – UTUSAN




