Malaysia bantah cubaan usir rakyat Palestin

Malaysia bantah cubaan usir rakyat Palestin

Putrajaya: Malaysia menolak pengiktirafan Israel ke atas wilayah dikenali ‘Somaliland’ dan membantah sebarang cubaan menggunakan wilayah berkenaan untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Malaysia mengambil pendirian sama dengan sebahagian besar negara serta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang menolak tindakan rejim Israel itu.

“Kami menyatakan bantahan tegas terhadap sebarang usaha untuk menggunakan ‘Somaliland’ atau mana-mana wilayah lain sebagai destinasi pemindahan secara paksa atau pengusiran rakyat Palestin dari Gaza.

“Cadangan sedemikian sama sekali tidak boleh diterima, melanggar undang-undang antarabangsa dan prinsip kemanusiaan, serta hanya akan berterusan mengekalkan ketidakadilan dan bukannya menyumbang kepada keamanan serta menolak segala tindakan yang menjejaskan undang-undang antarabangsa,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.

Israel pada Jumaat menjadi negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pertama yang secara rasmi mengiktiraf Somaliland sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat, sekali gus mencetuskan kecaman daripada Turkiye, sekutu rapat Somalia, selain beberapa negara di Afrika dan Timur Tengah.

Somaliland, yang tidak menerima pengiktirafan rasmi sejak mengisytiharkan kemerdekaan daripada Somalia pada 1991, beroperasi sebagai sebuah entiti pentadbiran, politik dan keselamatan yang merdeka secara de facto, dengan kerajaan pusat Somalia bergelut untuk menguatkuasakan kawalan ke atas wilayah itu, manakala kepimpinannya pula gagal memperoleh pengiktirafan antarabangsa terhadap kemerdekaannya.

Mengulas lanjut mengenai Gaza, Anwar berkata, beliau mengambil maklum perbincangan terbaharu yang diadakan di Florida, Amerika Syarikat bagi menangani fasa seterusnya proses damai.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang usaha mengembalikan keganasan berskala besar mesti dielakkan.

“Perlu ditegaskan, tidak boleh kembali kepada keganasan berskala besar, sebarang menyambung semula keganasan hanya akan memberi kesan buruk kepada orang awam dan seterusnya menghakis prospek keamanan yang sedia rapuh,” katanya.

Perdana Menteri juga mengulangi pendirian bahawa Israel mesti bertanggungjawab di atas semua tindakan mereka serta obligasi di bawah undang-undang antarabangsa.

Mengulas perkembangan pasca pilihan raya di Myanmar, Anwar berkata, pemimpin ASEAN akan terus meneliti perkembangan semasa dengan penuh berhati-hati, termasuk langkah yang sedang dilaksanakan berkaitan proses politik.

“Sebarang penilaian akan dibuat secara berperingkat, berpandukan keperluan untuk mengurangkan keganasan, mengelakkan tindakan yang boleh mendalamkan perpecahan atau memberikan legitimasi pramatang serta mengekalkan kemungkinan hala tuju yang inklusif dan berwibawa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top