Lelaki ceroboh rumah di Taman Tun Teja sudah didakwa di mahkamah

Lelaki ceroboh rumah di Taman Tun Teja sudah didakwa di mahkamah

mhafis@mediaprima.com.my

Rawang: Seorang lelaki yang tular menceroboh sebuah rumah di Taman Tun Teja di sini, sudah didakwa di Mahkamah Majistret Selayang hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, polis mengesan hantaran tular di media sosial Threads mengenai kejadian itu sebelum semakan mendapati mangsa, seorang wanita tempatan, membuat laporan polis pada jam 7.49 petang kelmarin.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 5.15 petang ketika mangsa berada di bahagian dapur rumahnya sebelum suspek bertindak menceroboh masuk ke dalam kediaman berkenaan.

“Mangsa kemudian menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.

“Bertindak atas maklumat, pada jam lebih kurang 11.30 malam, anggota unit peronda polis (MPV) dari Balai Polis Rawang berjaya menahan suspek ketika membuat rondaan berhampiran lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan rumah.

“Kertas siasatan dilengkapkan dan dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya sebelum suspek didakwa di Mahkamah Majistret Selayang pada jam 10 pagi hari ini mengikut seksyen sama.

“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top