Kuala Lumpur: Malaysia mencatatkan pengambilan semula aset yang ketara susulan penekanan yang jelas pada peringkat dasar dan operasi, sekali gus meningkatkan hasil sebanyak 15 kali ganda iaitu berjumlah RM37.63 bilion dalam bentuk aset, sejak laporan penilaian bersama pada 2015.
Badan pemantau jenayah kewangan global, Pasukan Petugas Tindakan Kewangan dan Kumpulan Asia/Pasifik mengenai Pengubahan Wang Haram memaklumkan perkara itu dalam laporan penilaian bersama yang diumumkan hari ini.
Menurut laporan itu, pihak berkuasa Malaysia memberi penekanan yang jelas terhadap pengambilan semula aset, terutamanya menerusi proses sivil (pemulihan cukai, pelucutan hak tanpa sabitan dan pembayaran balik Suruhanjaya Sekuriti).
Laporan itu juga menyatakan bahawa mengikut dasar hala tuju Jawatankuasa Penyelarasan Pencegahan Pengubahan Wang Haram peringkat Kebangsaan (NCC), pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang telah menyasarkan pelan tindakan dan pasukan khusus berkaitan dengan penyitaan dan pelucutan aset.
“Antara 2019 dan Februari 2025, Malaysia mencapai hasil pengambilan semula aset yang baik, memperoleh 8.11 bilion euro menerusi pelbagai strategi komprehensif yang berkesan, sekali gus memanfaatkan penghantaran pulang aset berkaitan 1MDB (75.1 peratus).
“Ia turut melibatkan mendapatkan semula cukai dan duti oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (22.2 peratus), sabitan dan pelucutan hak berasaskan sabitan (2.6 peratus) dan mekanisme pelupusan dan pengembalian (0.2 peratus).
“Tidak termasuk kes 1MDB, hasil perolehan semula aset Malaysia sebanyak 2.03 bilion euro merupakan peningkatan yang ketara berbanding laporan penilaian bersama negara pada 2015, walaupun agak sederhana berbanding jumlah aset berkaitan 1MDB yang diperoleh, memandangkan risiko dan konteks negara.
“Walaupun angka perolehan semula aset secara keseluruhan sebanyak 8.11 bilion euro membuktikan kejayaan dalam memperoleh aset haram, ia menunjukkan pergantungan kepada satu kes berprofil tinggi (1MDB) untuk memacu hasil perolehan keseluruhan,” kata laporan itu.
Katanya, ia menyatakan bahawa walaupun Malaysia menunjukkan kapasiti dalam kes-kes yang kompleks dan berskala besar, mungkin terdapat keperluan untuk mengukuhkan usaha perolehan semula aset sistemik merentasi pelbagai kes bagi memastikan hasil yang lebih konsisten.
Tambahan pula, rangka kerja perolehan semula aset Malaysia tidak sejajar sepenuhnya dengan profil risikonya, terutamanya rangkaian penuh kesalahan predikat berisiko tinggi dan sederhana tinggi.
Pasukan penilaian juga berkata Malaysia telah melaksanakan beberapa penambah baikan dalam sistem pengisytiharannya dan mengenal pasti pergerakan mata wang rentas sempadan, seperti peningkatan dalam borang pengisytiharan yang dikemukakan berbanding laporan penilaian bersama pada 2015.
Bagaimanapun, Malaysia tidak merampas mata wang rentas sempadan sama ada ia diisytiharkan secara palsu atau tidak diisytiharkan selaras dengan profil risikonya.
Selain itu, menurut laporan itu, sekatan kerana melanggar keperluan pengisytiharan itu adalah tidak berkesan, berkadar dan tidak meyakinkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




