Malaysia catat pertumbuhan KDNK 5.4 peratus pada suku pertama 2026 – BNM

Malaysia catat pertumbuhan KDNK 5.4 peratus pada suku pertama 2026 – BNM

KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, melebihi sedikit daripada anggaran awal sebanyak 5.3 peratus, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

Kadar pertumbuhan, bagaimanapun berkurangan daripada 6.3 peratus yang dicatatkan pada suku keempat 2025.

Menurut bank pusat dalam kenyataan hari ini, pertumbuhan 5.4 peratus itu didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri.

“Perbelanjaan isi rumah kekal disokong oleh keadaan pasaran pekerja yang positif, dengan kadar pengangguran yang kekal rendah, di samping langkah-langkah dasar bersasar,” menurutnya.

BNM memaklumkan pertumbuhan pelaburan disokong oleh pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan sektor awam, kadar realisasi yang tinggi bagi pelaburan yang diluluskan serta pelaksanaan berterusan pelan induk nasional.

Pertumbuhan eksport kekal kukuh, didorong terutamanya oleh pengembangan berterusan bagi eksport elektrik dan elektronik (E&E).

“Sementara itu, pertumbuhan import kasar menjadi sederhana berikutan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi import barangan modal, barangan perantaraan dan barangan pengguna,” katanya.

BNM memaklumkan pertumbuhan sektor perkhidmatan menjadi sederhana, mencerminkan penurunan dalam jualan kenderaan bermotor berikutan pembelian yang dilakukan lebih awal pada suku keempat sebelum tamatnya tempoh pengecualian duti import bagi kenderaan elektrik.

“Sementara itu, prestasi sektor perkilangan kekal disokong oleh prestasi E&E yang lebih kukuh, selaras dengan permintaan berterusan bagi komponen berkaitan kecerdasan buatan dan pusat data,” menurut BNM.

Selain itu, pertumbuhan sektor pertanian lebih rendah berikutan pengeluaran minyak sawit yang kembali normal selepas paras pengeluaran yang tinggi sebelum ini serta aktiviti penanaman semula yang berterusan.

“Sektor perlombongan dan pengkuarian menguncup disebabkan terutamanya oleh pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah.

“Selain itu, pertumbuhan sektor pembinaan kembali normal daripada pertumbuhan dua angka berikutan penyederhanaan dalam pembinaan kediaman dan aktiviti kejuruteraan awam,” katanya.

Menurut BNM, pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi menguncup sebanyak 0.01 peratus berbanding pertumbuhan 1.4 peratus pada suku keempat 2025 berikutan prestasi yang lebih kukuh pada suku tahun sebelumnya.

Sementara itu, Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour berkata, Malaysia dijangka berdepan cabaran luar akibat daripada konflik geopolitik yang berterusan di Asia Barat.

“Sebagai sebuah ekonomi kecil dan terbuka, Malaysia tidak dapat mengelak daripada menerima impak secara langsung dan tidak langsung daripada konflik geopolitik yang sedang berlaku di Asia Barat.

“Harga tenaga yang lebih tinggi, gangguan rantaian bekalan dan ketidaktentuan yang meningkat dijangka memberi impak kepada persekitaran luaran,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Rasheed berkata, ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan pada 2026, dengan pertumbuhan diunjurkan antara empat peratus dan lima peratus, disokong oleh permintaan domestik yang stabil dan peningkatan eksport yang berterusan.

Beliau berkata permintaan domestik yang berdaya tahan akan terus menyediakan penampan yang kukuh terhadap cabaran luaran.

“Perbelanjaan isi rumah akan disokong oleh keadaan pasaran tenaga kerja yang kukuh dan sokongan dasar yang berterusan.

“Aktiviti pelaburan akan didorong oleh pelaksanaan berterusan projek berbilang tahun oleh sektor swasta dan sektor awam serta pelaksanaan pelan induk nasional yang berterusan,” katanya.

Walaupun terdapat cabaran luaran, Abdul Rasheed berkata pertumbuhan eksport akan terus mendapat manfaat daripada pengembangan teknologi global, terutamanya untuk barangan E&E, mencerminkan peranan Malaysia dalam rantaian nilai global. – Bernama

Scroll to Top