Hadiah hari guru paling bermakna, Cikgu Munisuaran menang BSN SSP RM1 juta

Hadiah hari guru paling bermakna, Cikgu Munisuaran menang BSN SSP RM1 juta

am@hmetro.com.my

Ipoh: Sambutan Hari Guru esok menjadi lebih bermakna buat seorang guru, M Munisuaran, 56, apabila bergelar jutawan dengan memenangi wang tunai RM1 juta selepas diumumkan sebagai pemenang Cabutan Jutawan Bank Simpanan Nasional Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) bulanan ke-123.

Guru subjek sejarah sebuah sekolah menengah di Butterworth, Pulau Pinang itu berkata, khabar gembira itu diterimanya pada 2 Mei lalu daripada rakan baiknya yang juga pengurus korporat di BSN yang sering menjanjikan kepadanya faedah dan manfaat menyimpan di institusi kewangan itu.

Menurutnya, beliau sememangnya mengimpikan untuk memenangi hadiah berupa kereta menerusi cabutan secara bulanan, namun tidak menyangka dapat beroleh hadiah kemenangan yang lebih besar daripada yang diimpikannya itu.

“Sebenarnya memang saya selalu semak dan mengikuti cabutan yang dibuat secara langsung setiap bulan dengan harapan tertentu. Namun bagi saya tiada yang perlu dibimbangkan kerana kalau tak dapat pun tiada masalah kerana tiada apa yang hilang dan simpanan masih ada.

“Ini juga cabutan yang pertama kali saya dapat bagi diri sendiri kerana sebelum ini anak-anak saya juga pernah dapat cabutan melalui SSP BSN bagi kategori remaja dengan pernah memperoleh peranti iPad Air atas simpanan yang saya mulakan kepada mereka,” katanya.

Beliau bersama isteri, Manjula Ganesan, 55, yang juga guru di sekolah sama berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima cek cura RM1 juta yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid di sebuah hotel, di sini hari ini.

Bapa tiga anak itu berkata, dia mula membuka akaun di BSN sejak tahun 1990 namun mula menabung melalui BSN SSP sejak 11 tahun lalu, selain meneruskan simpanan termasuk bagi semua ahli keluarganya termasuk anak-anak yang kini berusia antara 22 hingga 29 tahun sebagai simpanan untuk pengajian.

“Saya buat ketetapan yang tidak akan keluarkan simpanan dan hanya akan keluarkan bila sudah betul-betul terdesak atau untuk jangka masa panjang, mungkin selepas 30 tahun. Saya disiplinkan diri untuk simpanan hari tua dan apa yang saya dapat kali ini berbaloi.

“Saya memang mengimpikan untuk memperoleh kereta tetapi rezeki saya kali ini lebih daripada kereta. Mungkin saya boleh beli kereta daripada daripada kemenangan ini tetapi saya fikir akan masih terus simpan dengan SSP,” katanya.

Katanya, dia belum merancang kegunaan bagi hadiah RM1 juta yang dimenanginya dalam waktu terdekat, sebaliknya menunggu sehingga persaraannya pada 2030 bagi merancang kegunaan wang itu.

“Sekarang saya masih bekerja dan tertakluk dengan perkhidmatan kerajaan dan setakat ini tiada apa-apa perancangan. Tunggu hari saya pencen selepas itu baru akan rancang sesuatu dengan wang itu untuk masa depan saya.

“Keempat-empat anak saya juga menjadi penyimpan SSP dan saya yang memperkenalkan kepada mereka daripada kecil sebagai simpanan supaya mereka dapat melanjutkan pelajaran.

“Jadi, simpanan yang saya simpan untuk mereka itu digunakan untuk menanggung kos yuran tuisyen dan yuran lain selain kegunaan harian mereka ketika di universiti. Tiga daripada mereka kini sudah bekerja namun mereka masih meneruskan apa yang saya sudah mulakan sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Mujibburrahman menerusi kenyataan berkata dalam usaha memperluas mesej menabung dan celik kewangan dalam kalangan warga pendidik, BSN turut menyumbang lebih RM500,000 bagi menyokong Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan ke-55 yang akan disambut esok.

Menurutnya, melalui sumbangan itu semua penerima anugerah akan dihadiahkan wang tunai BSN SSP, dengan bagi penerima anugerah ‘Tokoh Guru Kebangsaan’ dan ‘Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan’, masing-masing akan menerima RM60,000 BSN SSP, selaras dengan mandat BSN untuk memupuk budaya menyimpan dalam kalangan rakyat Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top