am@hmetro.com.my
Putrajaya: Malaysia menjadi antara negara di dunia yang hampir menoktahkan kemiskinan tegar, hasil pelaksanaan dasar dan program berfokus rakyat di bawah pentadbiran kerajaan MADANI.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketika ini, kadar kemiskinan tegar negara hanya tinggal 0.09 peratus, sekali gus mencerminkan keberkesanan program bersifat inklusif dan menyeluruh yang dijalankan kerajaan, bagi memastikan tiada rakyat terpinggir dalam pembangunan negara.
Beliau berkata, semua program dilaksanakan seperti Kampung Angkat, Sekolah Angkat dan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI), yang dipantau Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kabinet memastikan tiada kelompok masyarakat tersisih atau ketinggalan.
“Malaysia diiktiraf di dunia sekarang dari sudut kejayaan menoktahkan kemiskinan tegar. Tidak (seperti) Amerika Syarikat, negara-negara Eropah yang masih tinggi jumlah rakyatnya terlantar di pinggir jalan.
“Malaysia bersyukur kerana kemiskinan tegar kini tinggal 0.09 peratus sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku, di Dataran Putrajaya, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abd Aziz.
Pada masa sama, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada KSN yang menyelenggarakan Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dari Jumaat hingga hari ini, bertujuan memaparkan kejayaan inisiatif dijalankan kerajaan MADANI sepanjang tiga tahun ini.
Beliau berkata, ketika ini, pertumbuhan suku ketiga negara berada pada paras 52 peratus, antara yang tertinggi di rantau.
“Ini Malaysia, negara yang sederhana, negara dengan penduduknya sekitar 34.5 juta orang, tetapi kumulatif perdagangan, peningkatan perdagangan itu sekarang sudah mencecah RM2.235 trilion.
“Jadi mencatat keuntungan yang sangat mengagumkan dan membanggakan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




