
Malaysia terpaksa akur tewas kepada Korea Selatan dalam aksi kedua Kumpulan C acara kuadran.
MALAYSIA terlepas peluang mengesahkan slot awal ke suku akhir selepas tewas 1-2 kepada Korea Selatan dalam aksi kedua Kumpulan C acara kuadran Piala Dunia Sepak Takraw 2026 di Stadium Titiwangsa pada Ahad.
Skuad negara yang dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Muhammad Fetri Mohd Azwadi, Amirul Zazwan Amir dan Aidil Aiman bermula longlai apabila tewas 8-15 pada set pertama.
Malaysia bagaimanapun bangkit pada set kedua selepas Muhammad Shahalril Aiman Halim dimasukkan menggantikan Muhammad Fetri, sekali gus membantu pasukan mengikat kedudukan menerusi kemenangan 15-11.
ARTIKEL BERKAITAN: Apa percaturan rahsia Thailand?
Pada set penentuan, Korea Selatan yang dibarisi Jeong Wondeok, Jeong Hasung, Lim Taegyun dan Kim Hyeongjong mempamerkan aksi konsisten dalam pertarungan sengit sebelum menoktahkan kemenangan 15-13.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia wajib menewaskan India dalam aksi seterusnya pada 9.30 malam ini untuk menghidupkan peluang mara ke suku akhir.
Jurulatih kuadran negara, Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif berkata anak buahnya akan menggunakan masa berbaki beberapa jam sahaja lagi untuk membuat penilaian ke atas pasukan India yang tampil memberi penekanan terhadap acara kuadran.
“Jadi, kita pun tahu kekuatan India macam mana. Insya-Allah kita akan kaji sikit, bincang balik macam mana strategi untuk permainan kita lebih baik lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.- Bernama.



