Malaysia ketuai pasukan pemerhati ASEAN perjanjian gencatan senjata Thailand, Kemboja

Malaysia ketuai pasukan pemerhati ASEAN perjanjian gencatan senjata Thailand, Kemboja

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Malaysia diberi mandat mengetuai pasukan pemerhati ASEAN yang ditugaskan untuk mengesahkan dan memastikan perjanjian gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja terlaksana.

Perkara itu dipersetujui melalui mekanisme pelaksanaan gencatan senjata yang ditandatangani antara dua negara terbabit dalam Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) di Wisma Perwira di sini, hari ini, yang mana kedua-dua pihak mengulangi komitmen terhadap gencatan senjata dalam mesyuarat khas pada 28 Julai lalu.

Dokumen perjanjian berkenaan ditandatangani oleh Menteri Pertahanan Kemboja, Jeneral Tea Seiha dan Pemangku Menteri Pertahanan Thailand, Jeneral Nattaphon Narkphanit.

Berdasarkan dokumen berkenaan, kedua-dua negara mengesahkan semula komitmen terhadap perjanjian gencatan senjata dan bersetuju Jawatankuasa Sempadan Wilayah (RBC) masing-masing melaksanakan susunan itu dengan penyelarasan dan pemantauan daripada pasukan pemerhati ASEAN yang diketuai Malaysia.

RBC akan bermesyuarat secara berkala dan mengemukakan laporan kepada GBC melalui saluran komunikasi negara masing-masing.

Kedua-dua pihak bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Pemerhati Interim (IOT) yang terdiri daripada atase pertahanan negara anggota ASEAN yang diakreditasi ke Thailand atau Kemboja, sementara pasukan pemerhati ASEAN dimuktamadkan.

IOT yang akan diketuai oleh atase pertahanan Malaysia akan dibentuk secara bebas di setiap negara bagi memantau pelaksanaan gencatan senjata tanpa menyeberangi sempadan.

Komposisi setiap IOT akan ditentukan oleh negara tuan rumah dengan berunding bersama Malaysia dan pasukan itu akan beroperasi secara rapat dengan RBC dan GBC masing-masing.

Thailand dan Kemboja turut bersetuju untuk mengadakan Mesyuarat GBC seterusnya dalam tempoh sebulan selepas hari ini di lokasi yang akan ditentukan.

Sekiranya gagal, satu mesyuarat perlu segera diadakan mengikut format sama seperti sesi kali ini untuk membincangkan pelaksanaan gencatan senjata.

Terdahulu, media melaporkan mesyuarat GBC itu diadakan bertujuan menyelesaikan pertikaian sempadan antara dua negara terbabit, sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang dimeterai di Malaysia pada 28 Julai lalu.

Gencatan senjata yang berkuat kuasa pada tengah malam, 28 Julai, dicapai menerusi mesyuarat khas di Malaysia, yang membawa kedua-dua negara jiran Asia Tenggara itu ke meja rundingan di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak.

Mesyuarat khas dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya menyaksikan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai bersama-sama bersetuju terhadap perjanjian gencatan senjata selepas beberapa minggu ketegangan meningkat.

Ketegangan antara dua negara itu memuncak pada 28 Mei lalu susulan pertempuran antara tentera di kawasan sempadan Preah Vihear, sekali gus mencetuskan semula pertikaian lama membabitkan sempadan sepanjang 817 kilometer yang dikongsi bersama.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top