harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya rancangan Israel untuk merampas 70 peratus wilayah Gaza di Palestin.
Wisma Putra dalam kenyataan hari ini berkata rancangan itu dengan jelas membuktikan niat terancang Israel untuk menafikan hak rakyat Palestin dan Malaysia membantah sekeras-kerasnya rancangan terbabit.
Menurut kenyataan itu, Malaysia bersolidariti dan menyokong penuh usaha Palestin menubuhkan negara merdeka dan berdaulat, di tanah air mereka sendiri yang merangkumi Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur.
“Tindakan itu (rampasan) menyalahi undang-undang dan sama sekali tidak boleh diterima. Ia adalah pelanggaran nyata oleh Israel terhadap undang-undang antarabangsa.
“Ia juga pelanggaran nyata Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), juga melanggar pelbagai resolusi Majlis Keselamatan PBB dan Perhimpunan Agung PBB,” kata kenyataan itu hari ini.
Wisma Putra dalam kenyataan sama menyeru masyarakat antarabangsa bersatu dan bertindak membantah rancangan Israel.
Katanya, Gaza merupakan sebahagian daripada wilayah Palestin yang sudah wujud lama sebelum penubuhan negara haram Israel dan fakta itu tidak boleh diubah.
“Sebarang usaha untuk mengubah hakikat itu hanya akan mengakibatkan ketidakadilan yang lebih ketara serta memburukkan lagi keadaan keselamatan dan keamanan yang sedia rapuh di rantau berkenaan.
“Rakyat Gaza terus menderita akibat tindakan genosid dan kemusnahan yang dilakukan oleh Israel. Sebarang bentuk pengilhakan wilayah Palestin adalah salah di sisi undang-undang antarabangsa dan tidak boleh dibenarkan,” katanya.
Menurutnya, Malaysia memberi sokongan penuh yangtidak berbelah bahagi terhadap Palestin serta sokongan berterusan negara terhadap penubuhan sebuah negara berdaulat yang merdeka dan berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.
Terdahulu media antarabangsa yang memetik media Israel melaporkan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengarahkan tenteranya untuk merampas kira-kira 70 peratus wilayah di Gaza, Palestin.
Netanyahu dilaporkan turut memberi bayangan penguasaan penuh ke atas wilayah itu mungkin berlaku namun menegaskan langkah itu akan dilaksanakan secara berperingkat.
Tindakan berkenaan sekali gus melanggar perjanjian gencatan senjata antara kedua-dua pihak melalui Amerika Syarikat (AS) sebagai perantara pasca Oktober 2025.
© New Straits Times Press (M) Bhd




