Malaysia mampu ‘pergi jauh’ Badminton Berpasukan Asia

Malaysia mampu ‘pergi jauh’ Badminton Berpasukan Asia

Undian Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia di UAE.

MALAYSIA dilihat berpeluang cerah untuk mara ke peringkat suku akhir apabila diundi dalam Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia sama India, Kazakhstan dan tuan rumah, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Diletakkan sebagai salah satu pasukan pilihan, cabaran sengit skuad negara ialah India kerana mempunyai pemain dalam kelompok 10 terbaik bagi acara perseorangan lelaki, beregu lelaki dan wanita.

Malaysia menyandarkan harapan kepada Lee Zii Jia dan Leong Jun Hao untuk cabaran perseorangan lelaki, manakala Goh Jin Wei dan Wong Ling Ching menggalas tanggungjawab di bahagian perseorangan wanita.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Manaiky berkata, para pemain akan dipersiapkan sebaik mungkin bagi menghadapi kejohanan tersebut.

“Kami akan merencana (persiapan) Isnin depan. Kami bertolak pada jam 11 malamnya, jadi kami akan mengadakan kem persiapan pukul 11 pagi dan ia mendapat tindak balas positif.

“Pada asalnya kami merencana untuk mengatur persiapan bermula esok (Rabu), namun Aaron (Chia)-(Soh) Wooi Yik terlepas sambutan Tahun Baharu Cina minggu lalu.

“Jadi mereka akan menggunakan kesempatan untuk berehat pada minggu ini,” ujar Rexy di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada Selasa.

Beregu lelaki pula menyaksikan Malaysia membariskan Aaron-Wooi Yik dan Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, manakala beregu wanita pula terdiri daripada M. Thinaah-Pearly Tan serta Teoh Mei Xing-Go Pei Kee.

“Kemungkinan untuk membentuk gandingan bidan terjun pasti ada. Kami kena tengok berdasarkan pihak lawan, situasi dan keadaannya.

“Saya akan mengadakan perbincangan dengan Rosman (Razak-jurulatih Ee Yi-Yew Sin),” ujar Rexy.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula melengkapkan senarai skuad negara bagi edisi kali ini yang berlangsung di Pusat Perdagangan Dubai, UAE, dari 14 hingga 19 Februari ini.