
Ahmad Syihan menjawab pertanyaan pengamal media ketika ditemui wakil-wakil media Malaysia hari ini sempena Piala Asia 2023. Foto Bernama
MALAYSIA tidak mempunyai pilihan selain meraih kemenangan untuk mencerahkan peluang melakar sejarah mara ke pusingan 16 terbaik ketika bertemu Jordan pada perlawanan pertama Kumpulan E kempen Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub di sini, Isnin depan (Selasa, 16 Januari waktu Malaysia).
Penjaga gol nombor satu Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed berkata, tiga mata bertemu skuad yang diberi julukan The Chivalrous Ones itu mustahak serta mampu mengurangkan tahap tekanan sebelum bertemu Bahrain dan juara dua kali Korea Selatan.
“Perlawanan pertama kena menang, kena kutip mata…kenapa kena menang dengan Jordan sebab kita kena ambil peluang ini untuk melangkah ke (peringkat) seterusnya, kita tak nak duduk setempat saja,” katanya ketika ditemui media Malaysia di hotel penginapan pasukan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, penjaga gol utama Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, motivasi pasukan berada pada tahap terbaik menjelang pertembungan dengan Jordan, selepas berjaya mengikat Syria 2-2 pada aksi pemanas badan di sini, Selasa lepas.



