Malaysia mohon kebenaran Nepal hantar SMART

PETALING JAYA: Malaysia sedang berusaha mendapatkan kebenaran daripada Kerajaan Nepal untuk mengatur gerak Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu operasi susulan bencana alam di wilayah Tibet, China.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, beliau telah mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya iaitu Menteri Luar Negeri Nepal, Shisir Khanal, semalam.

Katanya, perbincangan tertumpu kepada perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR) khususnya dalam usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi akibat banjir dan tanah runtuh tempoh hari.

“Malaysia juga telah memohon kebenaran Kerajaan Nepal untuk mengatur gerak Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) bagi membantu dan menyokong operasi SAR yang sedang dijalankan di lapangan,” katanya dalam kenya­taan semalam.

Beliau berkata, kesempatan itu turut digunakan bagi me­rakam penghargaan kepada Kerajaan Nepal atas segala bantuan dan kerjasama diberikan kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu dalam menghadapi musibah tersebut.

Sementara itu, Penolong Ka­nan Penguasa Bomba 1 (PgKB I), Abdul Manaf Che Isa berkata, Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) masih menunggu maklum balas kerajaan Nepal sebelum digerakkan ke negara itu bagi membantu operasi mencari dan menyelamat susulan bencana banjir kilat dan tanah runtuh.

Beliau berkata, pasukan ber­kenaan sudah bersiap sedia sepenuhnya bagi melaksanakan misi bantuan berkenaan.

Katanya, SMART akan digerakkan sebaik menerima pengesahan kerajaan Nepal berhubung ke­perluan dan penerimaan bantuan Malaysia.

“Pada dasarnya, pasukan telah pun bersiap sedia sepenuhnya dan kami akan membuat pela­rasan bersama KLN, MKN dan NADMA bagi tujuan pergerakan pasukan.

“Sehingga pagi ini, kita masih menunggu maklum balas daripada kerajaan Nepal bagi tujuan kesediaan menerima pasukan SMART dari Malaysia,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Setakat semalam, jumlah korban akibat banjir dahsyat berhampiran sempadan Nepal-China meningkat kepada 919 orang, manakala 4,793 lagi masih hilang di Nepal dan Tibet, ketika operasi menyelamat memasuki hari keenam.

Pihak Berkuasa Pengurangan Risiko dan Pengurusan Bencana Kebangsaan Nepal memaklumkan sekurang-kurangnya 903 orang maut di Nepal, manakala 4,247 lagi masih hilang.

Media kerajaan China sebelum ini mengesahkan 16 kematian dan 546 orang masih hilang di Tibet selepas bencana yang berlaku pada Rabu lalu.

Di Nepal, jumlah mangsa yang hilang 592 warga asing, terma­suk 55 rkayat Malaysia dan 933 pekerja projek hidroelektrik di sepanjang sungai yang dilanda arus deras. – UTUSAN

Recent Posts

Scroll to Top