Putrajaya: Malaysia dan Poland perlu mempamerkan keupayaan kedua-dua negara untuk bekerjasama dalam sektor utama seperti industri halal, pertahanan, teknologi digital dan hidrogen hijau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap pada sidang media bersama dengan Presiden Poland Andrzej Duda, Anwar berkata kekuatan Poland dalam teknologi moden dan maju menjadikannya rakan yang semakin penting dalam Kesatuan Eropah dan rantau ini.
“Kita perlu mempamerkan keupayaan Malaysia dan Poland untuk bekerjasama dalam bidang yang telah dibincangkan termasuk industri halal dan dengan kekuatan anda dalam teknologi moden,” kata beliau.
Anwar berkata lawatan peringkat tinggi terakhir Poland ke Malaysia adalah pada 1999 dan sejak itu, negara tersebut telah mencapai pertumbuhan yang luar biasa terutamanya dalam teknologi baharu, kecerdasan buatan, teknologi makanan dan tenaga hijau.
“Saya berharap dapat meningkatkan hubungan dua hala ini dalam bidang pertahanan, teknologi makanan, perdagangan, pelaburan, teknologi digital, tenaga boleh baharu dan kepakaran baharu anda (Poland) dalam hidrogen hijau,” katanya.
Presiden Duda dan isteri tiba di Putrajaya untuk lawatan rasmi tiga hari yang bertujuan memperkukuh hubungan dua hala dan memperluas kerjasama antara kedua-dua negara.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia dan Poland menyatakan kesediaan untuk memperdalam kerjasama antara Asean dan Kesatuan Eropah (EU), memanfaatkan jawatan kepengerusian masing-masing untuk memacu perkongsian antara rantau yang lebih strategik bagi tempoh jangka panjang.
Perdana Menteri berkata penyelarasan berterusan, dengan Malaysia sebagai Pengerusi Asean tahun ini dan Poland menyandang jawatan presiden Majlis EU pada separuh pertama 2025, telah mewujudkan peluang diplomatik yang unik untuk memupuk hubungan Asean-EU yang lebih erat, khususnya dalam perdagangan.
“Lawatan Presiden Andrzej Duda ini sangat istimewa kerana beliau kini memegang jawatan presiden Majlis EU, manakala Malaysia adalah Pengerusi Asean.
“Perbincangan kami menyentuh tentang isu dua hala dan isu Asean-EU yang lebih meluas,” katanya.
Perdana Menteri berkata perbincangan antara Asean dan EU, khususnya mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), mendapat momentum baharu selepas mencatatkan kemajuan yang perlahan selama bertahun-tahun.
“Rundingan itu berlanjutan, mungkin disebabkan keutamaan yang berbeza pada masa lalu. Tetapi sepanjang tahun lepas dan terutamanya dalam beberapa bulan kebelakangan ini, kita telah melihat proses yang dipercepatkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd