mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Malaysia merekodkan kerugian RM277 bilion akibat jenayah rasuah bagi tempoh lima tahun berdasarkan anggaran kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, statistik itu direkodkan bagi tempoh 2018 sehingga 2023 berdasarkan anggaran KDNK.
Menurutnya, ia bersamaan purata RM55 bilion setahun dan ia satu angka yang amat membimbangkan.
“Dalam persekitaran semasa yang kompleks, sukar diramal dan sentiasa berubah, rasuah juga berubah wajah menjadi lebih licik.
“Merujuk corak siasatan beberapa tahun kebelakangan ini, rasuah tidak dilakukan secara terang-terangan, tetapi berselindung di sebalik taktik fraud.
“Antaranya, pemalsuan dokumen perniagaan, penggunaan syarikat proksi, menghalalkan transaksi rasuah dengan menyamarkannya sebagai kos operasi syarikat seperti melalui yuran perunding, perbelanjaan hiburan atau kos pembangunan serta aliran wang yang disusun melalui beberapa lapisan transaksi bagi menyukarkan pengesanan jejak wang.
“Tipologi rasuah kini jauh lebih kompleks dan rumit. Apa yang lebih membimbangkan, hampir kesemua taktik penipuan ini melalui proses dan sistem perakaunan dan pengauditan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran KKFP, di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Audit Negara Jabatan Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Akauntan Negara Nor Yati Ahmad.
Azam berkata, jika proses dan sistem ini tidak cukup telus atau dikendalikan oleh individu yang lemah integriti, maka ia bukan sahaja gagal berfungsi sebagai ‘gate keeper’, malah boleh menjadi medan untuk menutupinya dan menjadi ‘enabler’.
Beliau berkata, hal ini menjadikan tugas SPRM semakin mencabar dalam mendedahkan jejak jenayah yang disusun dengan rapi.
“Kajian EMIR Research pada 2023, yang juga mengambil kira beberapa sumber data laporan terbuka pula melaporkan anggaran kerugian mencecah sehingga RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun di antara 1997 sehingga 2022.
“Angka-angka ini bukan sekadar statistik, tetapi petunjuk jelas bagaimana rasuah yang turut membuka ruang kepada pelbagai kesalahan-kesalahan lain berkaitan rasuah seperti pemalsuan dokumen, manipulasi dalam penyediaan penyata kewangan dan penyelewengan wang syarikat telah merosakkan keutuhan dasar, proses, sistem dan penyampaian kerajaan serta sektor swasta.
“Kesan akhirnya ialah ketirisan berskala besar, kehilangan keyakinan pelabur dan rakyat serta kemunduran kemajuan negara,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




