KOTA TINGGI – Syarikat pengeluar dari beberapa negara sedang diteliti kerajaan bagi menggantikan pembekalan bekalan peluru berpandu yang gagal dipatuhi syarikat Norway.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara syarikat negara yang sedang diteliti termasuklah Itali, Perancis, Turki, Korea, Amerika Syarikat (AS) dan termasuklah Jepun.
Beliau menjelaskan, aspek integrasi selain harga yang ditawarkan syarikat-syarikat berkenaan turut diteliti sebelum sesuatu keputusan dibuat.
“Katakanlah negara-negara itu dah ada peluru berpandu dan sedang dalam ‘production‘, kemudian integrasi boleh dibuat, jadi itu sangat sesuai tetapi kena juga tengok pada harga.
“Kita tidak boleh nak tempah baharu kerana akan perlu menunggu lama, itu tak boleh. Kita mahu yang sedang dalam ‘production‘,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Sembang Santai Bersama Pemandu Kereta Sewa dan Teksi di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang di sini pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled menjelaskan, Malaysia akan melihat sama ada bekalan berkenaan telah tersedia terlebih dahulu bagi memastikan tempoh menunggu tidak menunggu tidak terlalu lama.
“Peluru berpandu ini perlu ditempah, tetapi masalahnya tempahan baharu mengambil masa empat hingga lima tahun untuk siap. Mungkin AS tengah buat untuk kapal-kapal dia, Itali juga tengah buat, jadi kalau ada saya nak minta dulu.
“Jadi kapal yang kita akan dapat Disember ini akan ada sistem peluru berpandu ‘surface to surface‘. Peluru yang mampu tembak jarak jauhnya 300 kilometer, itu yang kita nak,” katanya.
Sementara itu, beliau turut memberitahu, tindakan tuntutan dan saman terhadap syarikat dari Norway atas kegagalan mereka mematuhi kontrak akan diteruskan.
“(Norway mohon maaf) Maaf, maaflah tetapi tuntutan tetap kita buat. Saman tetap saman, saman pada syarikat itu. Tetapi jika Norway betul-betul mahu jaga persahabatan dengan Malaysia, dia boleh bantu dan dahulukan tuntutan wang lebih RM1 bilion.
“Kos peluru berpandu itu lebih RM600 juta, kemudian kos-kos tidak langsung lain seperti latihan, integrasi sistem dan lain-lain. Semua itu melibatkan kos, jadi siapa yang akan tanggung disebabkan kegagalan mereka,” katanya.
Norway sebelum ini dilaporkan menarik balik beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu sebagai sebahagian daripada usaha memperketat kawalan eksport negara itu, yang secara langsung menjejaskan perjanjian perolehan NSM antara TLDM dan pengeluar sistem berkenaan.
Perjanjian itu ditandatangani pada April 2018 dengan nilai kontrak sebanyak €124 juta (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam kapal LCS baharu ketika itu.
Pada 19 Mei lalu, dilaporkan Malaysia mengeluarkan notis tuntutan kepada sebuah syarikat pertahanan Norway susulan pembatalan lesen eksport bagi sistem peluru berpandu yang diperuntukkan untuk LCS TLDM, dengan tuntutan kerugian melebihi RM1 bilion.



