Malaysia-Singapura disaran keluarkan pasport vaksin

Malaysia-Singapura disaran keluarkan pasport vaksin

Johor Bahru: Malaysia dan Singapura disarankan mengeluarkan pasport vaksin khas kepada rakyat negara ini yang sudah mendapat vaksin Covid-19 bagi membolehkan mereka berulang-alik ke republik itu terutamanya untuk bekerja.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon, berkata ia selaras dengan jangkaan kerajaan yang bercadang memberikan kira-kira 100,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang-alik setiap hari, menjadi antara penerima fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Beliau yang juga Ketua Kaukas Pandemik MCA berkata, pihaknya menerima banyak rintihan rakyat Malaysia yang terkandas di republik itu untuk pulang bertemu keluarga selain memeriksa kediaman dan harta benda yang sudah setahun ditinggalkan.

Katanya, ia berikutan tidak ramai yang mampu mengikut program khas gelembung perjalanan antara dua negara yang diperkenalkan sebelum ini kerana memerlukan belanja besar selain cuti panjang hampir sebulan, yang sukar diperoleh.

“Pasport vaksin ini jika dipersetujui antara Malaysia dan Singapura akan membolehkan rakyat Malaysia yang bekerja di republik itu untuk berulang-alik seperti dahulu.

“Ia sekali gus akan memberi kelegaan perasaan kepada ratusan ribu pekerja Malaysia di Singapura yang sudah terkandas di republik itu genap setahun hari ini.

“Namun, saya sarankan kerajaan supaya menaikkan jumlah penerima vaksin kepada 300,000 pekerja Malaysia di Singapura yang masih belum divaksin di republik itu secara berperingkat bagi membolehkan sempadan mulai dibuka kepada mereka untuk berulang-alik setiap hari.

“Selepas lebih setahun sempadan negara termasuk Malaysia-Singapura ditutup, ramai pekerja Malaysia di Singapura sebenarnya mengalami tekanan perasaan dan kemurungan berikutan hanya ‘bertemu’ keluarga sama ada secara panggilan video atau telefon sahaja,” katanya ketika dihubungi.

Hari ini, genap setahun sempadan negara termasuk antara Malaysia dan Singapura ditutup akibat pandemik Covid-19.

Pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 18 Mac tahun lalu bagi menghentikan penularan wabak berkenaan ternyata memberi kesan terutama kepada pekerja Malaysia yang berulang-alik bekerja di Singapura.

Ahad lalu, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, dilaporkan berkata, kira-kira 100,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan berulang-alik setiap hari dijangka menjadi antara penerima fasa kedua PICK.

Beliau dilaporkan berkata perkara itu dipersetujui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi yang sedang membangunkan sistem pendaftaran untuk golongan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Scroll to Top