Malaysia terus bagi sumbangan kepada Palestin

Malaysia terus bagi sumbangan kepada Palestin

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus memberikan sumbangan kepada Palestin, selain kepada badan antarabangsa bagi membantu penduduk di negara itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata rakyat Malaysia juga diseru untuk turut sama membantu dengan memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin, melalui tabung sah.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih dan mengalu-alukan keprihatinan badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia serta rakyat Malaysia yang sentiasa membantu rakyat Palestin.

“Segala usaha dan sumbangan saudara dan saudari semua amatlah bermakna bagi rakyat Palestin,” katanya melalui Perutusan Khas Perdana Menteri Mengenai Palestin, di sini hari ini.

Pada masa sama, Muhyiddin berkata, Malaysia menyumbang sebanyak US$10,000 (RM41,249) kepada Masjid Al-Aqsa yang disalurkan melalui Kementerian Awqaf, Jordan pada tahun lalu.

Beliau berkata, sumbangan itu dilaksanakan melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin, seliaan Kementerian Luar Negeri.

“Selain itu, bagi membantu kerajaan Palestin membendung wabak pandemik COVID-19, Malaysia turut menghulurkan bantuan dalam bentuk barangan perubatan, iaitu sejuta pelitup muka, masing-masing 500,000 pelindung muka dan sarung tangan getah.

“Semua sumbangan berkenaan dihantar menerusi pesawat sewaan khas ke Amman, Jordan pada 10 Mei, tahun lalu,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga menjadi penyumbang tetap kepada Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) sejak 2015.

Katanya, dalam tempoh sejak 2015, Malaysia sudah menyumbang sebanyak US$600,000 (RM2.47 juta) kepada UNRWA bagi menampung kos operasi dan programnya.

“Bagi tahun 2020 sahaja, Malaysia sudah menyumbang sebanyak US$120,000 (RM494,999) kepada UNRWA. Malaysia memberikan sokongan yang padu serta sumbangan kepada UNRWA secara konsisten sejak tahun 1978,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top