suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Usaha memperkukuh kawalan sempadan Malaysia-Thailand akan terus diberi perhatian bagi memastikan kawasan perbatasan kedua-dua negara bebas daripada aktiviti yang boleh mengancam keselamatan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerjasama itu antara perkara yang dibincangkan bersama Menteri Pertahanan Thailand, Tuan Yang Terutama (TYT) Leftenan Jeneral Adul Boonthumjaroen dalam pertemuan dua hala membabitkan kedua-dua negara.
Beliau berkata, pemantauan sempadan dilaksanakan menerusi Jawatankuasa Sempadan Bersama Malaysia-Thailand (GBC) yang sudah memainkan peranan sejak 1978.
“Kita juga telah membincangkan soal kerjasama kita dalam mengawas dan mengawal sempadan antara kedua-dua negara yang mana ia dilakukan melalui GBC dengan Thailand yang telah melaksanakan tanggungjawabnya sejak daripada tahun 1978 dengan baik.
“Ia bertujuan untuk mengawal sempadan supaya sentiasa selamat daripada sebarang kegiatan yang boleh memudaratkan kedua-dua negara, sama ada soal penyeludupan, soal kemasukan haram dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Pertahanan Thailand di Wisma Pertahanan, di sini, hari ini.
Mohamed Khaled berkata, GBC yang bermesyuarat setiap tahun turut menjadi platform membincangkan pelbagai aspek keselamatan dan pembangunan di kawasan sempadan.
“Memang GBC ini diadakan pada setiap tahun dan untuk tahun ini Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada mesyuarat yang ke-57.
“Antara perkara lain yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk keselamatan sempadan, operasi bersama antara kedua-dua angkatan tentera, pembangunan sosioekonomi kawasan sempadan serta penyelarasan pengurusan bencana,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, isu keselamatan membabitkan Selatan Thailand adalah perkara berbeza dan tidak boleh disamakan dengan kawalan sempadan antara Malaysia dan Thailand.
Katanya, Malaysia tidak terbabit secara langsung dalam soal keselamatan di Selatan Thailand, sebaliknya hanya membantu dari segi membawa proses keamanan di kawasan itu.
Mengenai ketegangan terbaru antara Thailand dan Kemboja, Khaled berkata, Malaysia menyambut baik komitmen Thailand untuk menyelesaikan isu itu melalui penglibatan dua hala.
“Kita telah menyerahkan perkara ini kepada Filipina dan kita percaya Filipina dapat memainkan peranan seperti yang telah kita lakukan.
“Kita juga menekankan bahawa apa sahaja ketegangan atau konflik yang berlaku perlu diselesaikan menerusi pendekatan ASEAN, iaitu melalui penglibatan, perbincangan dan sebagainya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




