syafil.syazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : Penyanyi, Shila Amzah menzahirkan rasa syukur yang tidak terhingga atas kehadiran bapa tirinya, Brigadier Jeneral Zainal Abidin Muhammad Salleh yang disifatkan sebagai figura datuk terbaik buat dua permata hatinya, Seth Uwais dan Rhea Akira.
Shila, 37, atau nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah berkongsi, kasih sayang yang dicurahkan oleh ibunya, Fauziah Sarman bersama bapa tiri melengkapkan lagi kebahagiaan keluarga mereka, meskipun tanpa kehadiran bapa kandungnya yang juga penyanyi veteran, Datuk ND Lala.
“Mak saya hebat dan ayah tiri pula sangat menakjubkan, itu sahaja apa yang saya boleh katakan. Buat masa ini, mereka adalah satu-satunya susuk datuk nenek untuk anak-anak, Seth dan Rhea,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai hubungan erat itu, pelantun lagu Patah Seribu ini menyifatkan anak-anaknya amat beruntung kerana dikurniakan datuk dan nenek yang sangat penyayang serta prihatin.
“Anak-anak saya sangat bertuah memiliki datuk tiri yang sanggup menggalas tanggungjawab itu (sebagai datuk). Malah, kediaman mereka cuma 10 minit sahaja daripada rumah kami,” katanya.
Tambah Shila, kehadiran pasangan itu bukan sahaja menjadi pelengkap buat anak-anaknya, malah menjadi tiang seri buat dirinya dan suami, Ubai Mohd Zulkefli, yang sebelum ini kehilangan ibu tercinta.
“Mak dan bapa tiri saya sedang menjadi ibu bapa untuk saya serta Ubai, memandangkan dia pun sudah tiada mak. Jadi, sekarang ini kami sedang mencipta rumah yang kami mahu pulang, begitulah,” katanya.
Untuk rekod, ibu Shila, Fauziah Sarman disahkan bercerai dengan ND Lala pada Ogos 2023 selepas 34 tahun melayari bahtera rumah tangga.
Bagaimanapun, Fauziah kembali bergelar isteri kepada Zainal Abidin pada 21 November tahun lalu selepas sebulan mengenali hati budi masing-masing.
© New Straits Times Press (M) Bhd




