georgie@hmetro.com.my
Annyeonghaseyo! Dahyun pernah menempuh pengalaman sukar sewaktu awal kerjayanya. Hal itu didedahkan dalam rancangan Hyell’s Club kendalian Hyeri yang memberi tumpuan kepada sejarah kerjaya seni muzik tetamu undangan mereka.
Hyeri sendiri selaku hos tahu Dahyun adalah anggota TWICE yang sentiasa cuba elakkan memakai pakaian terdedah. Dia antara penyanyi yang kerap mengenakan pakaian cukup sopan sekali.
Dahyun mendedahkan alasan memilih penampilan yang sebaiknya menutup tubuh. Tekanan memang dirasainya kerana perlu pakai baju seksi di awal kemunculan sewaktu TWICE diperkenalkan.
“Pada awal kemunculan, saya seorang yang pemalu. Saya masih berada dalam tahun pertama atau kedua sekolah tinggi. Berpakaian terlalu terdedah buat saya rasa bimbang.
“Mendedahkan bahagian bahu buat saya tertanya sama ada perkara itu dibenarkan. Saya baru berusia tujuh belas tahun. Saya berasa agak malu melakukan aksi itu,” katanya.
Dahyun mendedahkan ketika sesi fotografi pertamanya, itu kali pertama dia perlu memakai pakaian menjolok mata. Pakaian terbabit mendedahkan bahagian belakang badan dia sepenuhnya.
“Saya merakam gambar pertama sekali sahaja dan itu kali pertama saya menunjukkan belakang badan. Jadi saya terkejut, saya fikir belakang badan saya terdedah?
“Tetapi, sebaik sahaja saya benar-benar melakukannya, ia tidaklah terlalu teruk. Kadang-kadang, menunjukkan sisi baharu diri saya ini, saya fikir peminat akan berasa sangat menyukainya,” katanya.
Dia menjelaskan pengalaman terbabit akhirnya menjadi suatu proses pembelajaran. Dia berpendapat adalah bagus untuk mencuba perkara baharu selepas lama tidak melakukan aksi itu hari ini.
Sementara itu, dia mengakui menaruh impian untuk melancarkan album solo suatu hari nanti. Dia berhasrat mahu mencurah segala sisi peribadinya dalam sentuhan lagu atau muzik solonya kelak.
“Saya sangat suka menulis lirik lagu, tetapi masalahnya, saya tidak mendapat banyak peluang melakukannya. Jika saya melancarkan album solo, saya mahu menulis semua lirik.
“Adalah lebih baik untuk mencuba sesuatu yang radikal membabitkan kerjaya saya. Saya berharap impian ini akan tercapai suatu masa nanti demi memuaskan hati peminat setia saya,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




