Man. City harap Arsenal cicir mata

Man. City harap Arsenal cicir mata

MANCHESTER: Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui harapannya kini bergantung kepada Arsenal untuk tercicir mata dalam merebut kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Kemenangan meyakinkan 3-0 ke atas Crystal Palace di Stadium Etihad, semalam memastikan juara bertahan itu terus menekan Arsenal dengan jurang hanya dua mata ketika saingan berbaki dua perlawanan.

City memperoleh jaringan menerusi Antoine Semenyo dan Omar Marmoush pada separuh masa pertama hasil kreativiti Phil Foden, sebelum Savinho melengkapkan kemenangan selesa skuad The Citizens pada penghujung perlawanan.

Bagaimanapun, Guardiola mengakui laluan ke takhta liga tidak lagi berada dalam kawalan pasukannya.

“Semuanya bergantung kepada mereka. Jika Arsenal menang baki dua perlawanan, cerita sudah selesai.

“Apa yang boleh kami lakukan ialah terus menang dan tunggu peluang jika ada ruang terbuka,” katanya.

City kini berdepan jadual padat apabila bakal menentang Bournemouth dalam aksi liga sebelum turun beraksi menentang Chelsea pada final Piala FA di Wembley hujung minggu ini.

Malah, Guardiola turut mengingatkan anak buahnya agar tidak memandang ringan cabaran final tersebut selepas dikecewakan dalam dua aksi final Piala FA sebelum ini.

“Kami datang ke Wembley dengan satu misi, iaitu menang. Pasukan perlu bersedia secara fizikal dan mental kerana ini bukan perlawanan biasa,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN

Scroll to Top