norhayati_nordin@hmetro.com.my
Pemilik nama Nuha Bahrin, 26, pernah mendapat kecaman hebat netizen di media sosial pada 2020 lalu ketika menyertai program Vokal Mania sebagai ‘rookie’ atau penyanyi amatur.
Dia didakwa ‘perosak’ lagu Kekasih Awal dan Akhir nyanyian asal Datuk Jamal Abdillah disebabkan lantunan vokalnya tidak sampai sekali gus membuatkan lagu tidak sedap didengar.
Seiring masa berlalu dan bersikap terbuka untuk belajar daripada kesilapan, kini Nuha boleh dikatakan semakin giat memperbaiki mutu vokalnya dalam nyanyian.
Apatah lagi, duetnya bersama penyanyi Naufal Azrin menerusi lagu Casablanca yang dilancar pada Julai 2022 tular di aplikasi TikTok serta popular hingga ke negara jiran, Indonesia.
Bersua pemilik nama sebenar Nuha Sakina Saiful Bahrin itu, baru-baru ini, dia yang ramah dan mesra berbicara mengakui masih belajar teknik vokal hingga sekarang demi kelangsungan karier nyanyian diminati.
“Saya rasa belajar itu penting. Sebagaimana kita tahu, kena buat sampai akhir hayat. Jadi, saya rasa tidak akan penat belajar vokal, termasuk dari segi perlu banyak membuat latihan.
“Namun, pada masa kini, saya akur hanya terus mencuba dan berusaha melakukan yang terbaik dalam semua perkara menjurus kepada karier nyanyian diceburi ini,” katanya.
Ditanya caranya menghadapi komen netizen di media sosial terutama yang mengecam, Nuha memaklumkan ia adalah perkara biasa dan usah bertindak melarikan diri.
“Bagi saya, itu lumrah sebagai anak seni dalam industri hiburan ini. Tetap tidak boleh lari atau mengelak (berhadapan kecaman netizen). Cuma, apa yang boleh dibuat ambil yang baik serta positif sahaja.
“Manakala, jika komen ditulis itu tidak berfaedah untuk diri kita, biarkan. Sebabnya, adakala saya memang baca juga komen netizen apabila berasa tahap mental agak kuat.
“Ini kerana saya fikir dalam banyak komen itu mesti ada sesuatu yang baik boleh kita ambil untuk belajar. Pada saya, okay-okay sahaja. Tidak perlu disematkan sangat dalam hati,” katanya.
Enam tahun berkecimpung dalam industri muzik, Nuha memaklumkan tidak mudah sebenarnya untuk kekal bertahan kerana bakat baharu sentiasa bersinar dengan peluang diraih masing-masing.
“Apapun, pada saya untuk kekal dalam industri sebenarnya tidak mudah. Tetapi, pada masa sama, saya masih beruntung sebab ada pasukan kerja yang bagus serta dapat sokongan padu daripada rakan-rakan artis lain.
“Boleh dikatakan, saya ada sistem sokongan yang sangat baik. Sejujurnya, satu benda buat saya sangat bersyukur bila ada orang di sekeliling yang sangat-sangat baik. Alhamdulillah, itu rezeki.
“Sama ada saya tengah naik atau turun dalam aspek karier, insya-Allah saya akan okay menghadapinya sebab ‘tulang belakang’ sokongan yang saya ada memang kuat,” katanya.
Kini bernaung di bawah Universal Music, berbicara juga perancangan akan datang untuk lagu duet, Nuha memberitahu dia ingin bekerjasama dengan penyanyi wanita pula selepas Naufal Azrin.
“Saya sebenarnya ada impian besar nak berduet dengan penyanyi wanita. Sebab, dapat juga elakkan gosip. Kalau asyik duet dengan penyanyi lelaki, mungkin ruang untuk gosip itu akan ada.
“Apapun, antara penyanyi wanita yang saya teringin nak berduet adalah Aisha Retno sebab saya mengenali dia sejak berumur 17 tahun. Sekarang ini, kami berdua sama-sama umur 26 tahun.
“Jadi, saya selalu juga terfikir mesti seronok kalau kita berdua dapat bekerjasama. Ini kerana kami dulu pernah sama-sama ‘grow up’ dengan genre muzik R&B (Rhythm and Blues),” katanya.
Berharap impian jadi kenyataan, Nuha menyifatkan seandai ditakdirkan ada rezeki, dia dan Aisha dapat berduet dalam lagu bergenre R&B, selain Nuha berhasrat menjadi rakan duet Yuna.
“Sebenarnya untuk rakan duet, saya melihat lebih kepada penyanyi wanita yang saya sangat ‘adore’ (puja). Jadi, kalau nak disenaraikan nama mungkin ramai juga sebab dapati industri kita ada ramai penyanyi hebat.
“Sama ada penyanyi wanita atau lelaki, ramai yang berbakat dan memiliki vokal bagus kerana masing-masing melakukan dengan baik untuk karier serta minat. Justeru, ia wajar disokong,” katanya.
Mengulas populariti Aisha yang meledak dengan lagu Jodoh Lebaran, Nuha berkata, dia sangat bangga kerana karya itu diterima baik pendengar dan tular sepanjang sambutan hari raya Aidilfitri lalu.
“Bila lihat kejayaan Aisha, saya sebenarnya sangat bangga dengan dia. Ditambah lagi, saya juga tidak pernah memperkecilkan bakat seni orang lain. Bagi saya, Aisha layak disanjungi peminat.
“Bakat seni kawan-kawan saya sangat hebat walaupun masing-masing masih muda. Jadi, saya amat gembira kerana usia kami semua hampir sebaya dan sangat memberi inspirasi,” katanya.
Pada perkembangan lain, Nuha berkata, selain aktif menyanyi, dia juga mengembangkan bakat dalam penciptaan lagu bersama kawan.
Katanya, dia tidak menafikan berasa sangat teruja dengan karya yang dihasilkan mereka.
© New Straits Times Press (M) Bhd




