am@hmetro.com.my
Langkawi: Pendedahan kewujudan semula rangkaian pengedaran dadah di pulau peranginan ini secara tidak langsung memberi kesan kepada imej pelancongan Langkawi apabila ia menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, persepsi negatif berkaitan isu dadah termasuk dakwaan kewujudan sindiket tersusun boleh menjejaskan keyakinan pelancong untuk berkunjung ke pulau berkenaan.
“Bila keluar berita atau dakwaan macam ini, ia sedikit sebanyak merencatkan keyakinan pelancong. “Berdasarkan maklum balas industri, dijangka terdapat penurunan minat awal pelancong sekitar 11 peratus selepas pelbagai isu tular berkaitan pulau peranginan itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Katanya, pemain industri kini bimbang imej Langkawi sebagai destinasi pelancongan utama negara boleh terjejas sekiranya persepsi berkenaan tidak ditangani dengan segera oleh pihak berkuasa,” katanya.
Dalam pada itu, Zainudin berkata, industri pelancongan Langkawi turut berdepan cabaran lain termasuk masalah kekerapan perkhidmatan feri yang memberi kesan kepada pergerakan pelancong.
“Kita juga berdepan isu pengangkutan feri yang terhad menyebabkan tiket cepat habis dan menyukarkan kemasukan pelancong,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menyumbang kepada penurunan ketara tempahan hotel yang dianggarkan hingga 49 peratus dengan hampir separuh pembatalan membabitkan musim cuti tertentu.
Dalam usaha memulihkan keyakinan pelancong, Zainudin berkata, pihaknya sudah merangka beberapa mekanisme promosi termasuk memperkenalkan produk pelancongan baharu serta tawaran nilai tambah kepada pengunjung.
Katanya, antara inisiatif yang dirancang ialah program Langkawi Care yang akan menyediakan maklumat serta kemudahan informasi kepada pelancong selain usaha promosi secara lebih agresif.
“Pihak persatuan juga berusaha memperkenalkan produk pelancongan termasuk tawaran island hopping percuma sebagai tarikan semula pelancong ke Langkawi,” katanya.
Katanya, program berkenaan dijangka dilancarkan dalam masa terdekat dengan kerjasama Tourism Malaysia serta pihak berkaitan bagi tempoh promosi sehingga hujung tahun ini.
Semalam Harian Metro melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menjalankan siasatan membabitkan dakwaan kemunculan semula satu rangkaian pengedaran dadah yang beroperasi secara tersusun di sekitar Langkawi didalangi seorang anggota polis.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, pihaknya tidak akan berkrompomi dengan mana-mana anggotanya yang didapati terbabit dalam sebarang kegiatan jenayah. Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti individu yang didakwa terbabit dalam kegiatan berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




