Manchester: Manchester City membuka era baharu tanpa Pep Guardiola dengan kemenangan selepas gol lewat Marc Guehi dan Josko Gvardiol memastikan kemenangan dramatik 2-1 ke atas Bournemouth, hari ini pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama Enzo Maresca sebagai pengganti jurulatih dari Sepanyol itu.
Gol Marcus Tavernier pada babak pertama meletakkan Bournemouth di depan di Stadium Etihad sebelum City bangkit melakukan kebangkitan dramatik pada minit-minit akhir.
Guehi menanduk masuk gol penyamaan City enam minit sebelum tamat permainan, sebelum Gvardiol meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.
Guardiola memenangi 20 trofi, termasuk enam gelaran Liga Perdana, sepanjang tempoh gemilang selama sedekad bersama City.
Era beliau bermula dengan kemenangan lewat ketika menentang Sunderland di laman sendiri pada 2016 dan Maresca pastinya berharap kemenangan tipisnya itu menjadi permulaan kepada tempoh kejayaan yang sama hebat.
Maresca percaya dia mampu menyamai koleksi trofi Guardiola sekiranya diberikan masa untuk mengendalikan “perubahan besar” yang sedang berlaku di kelab itu.
Kekalahan hambar 0-3 City kepada Arsenal pada aksi Perisai Komuniti hujung minggu lalu menimbulkan persoalan mengenai kemampuan mereka untuk terus bersaing dengan juara Liga Perdana musim ini.
Dalam sebahagian besar aksi pembukaan liga itu, City sekali lagi dilihat ketandusan idea dalam serangan dan kurang keserasian di bahagian pertahanan.
Namun, mereka berjaya mencari jalan untuk mencuri kemenangan yang membolehkan Maresca menarik nafas lega.
City kini berada dalam tempoh perubahan besar apabila Rodri, Bernardo Silva, John Stones, Nathan Ake dan Tijjani Reijnders meninggalkan kelab, manakala Savinho dijangka menyertai Tottenham.
Pemain tengah England, Elliot Anderson menjadi satu-satunya pembelian utama Maresca setakat ini, namun dia gagal menyerlah sebelum terpaksa dikeluarkan pada babak kedua akibat kecederaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd


