mohamadridzuan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Bekas Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail, 64, menyifatkan penyanyi dan pemain saksofon, Allahyarham Azharuzzaman Ariffin sebagai seorang insan yang sangat baik, pendiam dan hanya bercakap bila perlu.
Mokhzani berkata, pemergian Allahyarham atau lebih dikenali sebagai Man G menyaksikan industri seni kehilangan seorang penyanyi yang berbakat besar serta pemain saksofon yang bagus.
“Saya kenal arwah semasa dia jadi artis rakaman menerusi lagu Malam Gelisah terbitan Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab dan lirik Allahyarham Juwie pada tahun 1988. Masa itu umurnya 20 tahun.
“Selepas itu dia (arwah) pindah balik Ipoh dan sertai band Setiausaha Kerajaan (SUK) Ipoh. Dia juga pernah kerja di bawah saya, di Kombo RTM Ipoh.
“Pemimpin Kombo RTM ialah Ismail Ahmad Nawab. Ada 5-piece combo. Masa itu Perak FM, wujudkan Kombo RTM Perak. Tidak berapa lama selepas itu, kombo itu pun ditutup,” katanya kepada Harian Metro.
Mokhzani yang kini berada di United Kingdom berkata, Man G akhirnya bergerak sebagai pemuzik bebas dan mereka berjumpa semula ketika bermain untuk band Tuanku Raja Di Hilir Perak, Tuanku Raja Iskandar Dzurkarnain.
“Ia berpusat di Kuala Kangsar dan Ipoh. Saya diundang jadi pemain keyboard bersama band Tuanku. Sebenarnya yang saya agak ralat, saya nak bawa dia datang Kuala Lumpur untuk masuk dalam Orkestra RTM.
“Tapi banyak masalah, kena lalu JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam). Biasalah… tak boleh masuk (kerja) terus, (sebab) kena lalu proses-proses dia. Akhirnya proses itu agak lambat. Dia akhirnya terus buat freelance, main sana sini, sana sini.
“Saya pun sudah lama tak berjumpa dia dan semalam dikejutkan dengan berita pemergiannya,” katanya.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan Azharuzzaman, 58, meninggal dunia dalam tidur di kediamannya di Ipoh, Perak, jam 5 petang semalam selepas mengadu keletihan.
Hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Allahyarham disahkan meninggal dunia akibat terlalu penat dan tiga saluran jantungnya tersumbat hampir 90 peratus.
© New Straits Times Press (M) Bhd




