Beberapa bulan rasa tidak sedap hati, rupanya anak akan 'pergi'

Beberapa bulan rasa tidak sedap hati, rupanya anak akan 'pergi'

am@hmetro.com.my

Baling: “Naluri saya sebelum ini kuat mengatakan akan berlaku sesuatu luar jangka pada Alina, malah perasaan itu sudah saya rasai sejak beberapa bulan lalu,” kata Mohd Sapri Ahmad, 57.

Akhirnya, Mohd Sapri berkata, rasa tidak sedap hati itu terungkai dengan pemergian anak ketiganya, Alina, 23, dalam kemalangan tiga kenderaan di Kampung Batu 7, Binjul, Kuala Ketil di sini, hari ini,

Kemalangan itu turut mengorbankan pemandu kereta Proton Saga, Muhammad Muqri Abu Nayan, 26, manakala seorang penumpangnya cedera.

Menurut bapa lima anak itu, dia mengetahui kejadian menimpa Alina selepas dimaklum pekerja kilang yang ke rumahnya di Kampung Bukit Tok Harun di sini pada 7 pagi, sambil membawa kad pengenalan anaknya.

“Dia tunjuk MyKad anak saya dan beritahu Alina kemalangan. Saya memang tak sangka kerana arwah keluar rumah dalam 5.45 pagi dan terbabit kemalangan itu kira-kira setengah jam kemudian, ketika hujan lebat.

“Arwah memang selalu buatovertime di kilang tempat kerjanya di Kulim pada setiap minggu dan hasil pendapatannya itu dibelikan cincin untuk kakaknya, selain beri wang kepada saya dan ibunya, ” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Mohd Sapri menyifatkan Alina seorang anak yang baik dan banyak membantu keluarga menyebabkan kehilangannya sangat dirasai mereka.

“Saya sudah tidak sedap hati lama. Kalau dia pergi mana-mana termasuklah ke Terengganu baru-baru ini, saya sudah fikir bukan-bukan.

“Rupanya Allah SWT nak tunjuk dia pergi hari ini. Kami sekeluarga reda, ” katanya.

Dia juga memberitahu yang Alina juga bersungguh-sungguh mengajak ibu dan adik-adiknya pulang bertemu datuk dan neneknya di Ipoh, Perak pada Aidiladha lalu.

“Mungkin itu juga petanda dia akan pergi buat selama-lamanya kerana dia hendak sangat cium tangan datuk dan neneknya di hari raya. Semuanya sudah tertulis oleh Allah,” katanya.

Sementara itu adik arwah, Ahmad Zaki Mohd Sapri, 18, menggambarkan Alina sebagai kakak yang baik dan tidak pernah berkira dengan keluarga.

“Saya sempat belikan dia bubur nasi malam tadi, cuma arwah mengadu tiada selera makan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top