Mandur cemas dikejar gajah betina dalam ladang kelapa sawit

Mandur cemas dikejar gajah betina dalam ladang kelapa sawit

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Seorang mandur berdepan detik cemas apabila dikejar seekor gajah betina ketika membuat rondaan di ladang kelapa sawit tempat kerjanya di Felda Aring 11, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang, Mohamad Azerie Mohd Razali, 31, tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri.

Menceritakan kembali detik cemas, Mohamad Azerie berkata, ketika kejadian, dia menunggang motosikal seorang diri sebelum melihat seekor gajah sudah menanti dan seperti mahu menyerangnya.

“Saya melakukan rutin dengan membuat rondaan sebelum tamat waktu bekerja pada jam 5.30 petang. Apabila tiba di lokasi, gajah liar terbabit sudah bersedia untuk menyerang.

“Saya bergegas meninggalkan motosikal lalu berlari ke arah pokok kelapa sawit, namun gajah terbabit tetap mengejar dan berada di belakang.

“Kerana berasa gajah terlalu hampir, saya bertindak terjun dari teres ladang setinggi kira-kira dua meter tetapi mamalia itu terus mengejar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Chiku 3, di sini, hari ini.

Menurutnya, apabila tiba di teres ketiga, dia terjatuh dan gajah terbabit juga terjatuh hingga dapat merasai bahagian perut haiwa berkenaan terkena pada pahanya.

Katanya, dalam kesakitan, dia berlari sejauh 200 meter ke jalan utama bagi mendapatkan bantuan dan dibawa ke Klinik Aring 1 sebelum dirujuk ke Hospital Gua Musang untuk rawatan susulan.

“Alhamdulillah, saya tidak mengalami kecederaan kecuali hanya sakit pada paha kiri akibat terkena perut gajah terbabit ketika ia menggelongsor jatuh.

“Pengalaman ini sangat mengerikan dan tidak mungkin dilupakan. Saya dapat melihat dengan jelas gajah betina terbabit yang menggelongsor di tepi dan jatuh teres keempat, hanya satu teres dengan saya.

“Apabila sampai di atas, saya dapat mendengar dengan jelas tempikan gajah liar terbabit,” katanya yang trauma dengan kejadian terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top