am@hmetro.com.my
Georgetown: Teruja dan tidak sabar hendak sambung belajar, begitu perasaan Ammar Yasir Bilal, 20, selepas terpilih sebagai penerima Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjumlah RM1,500.
Ammar bakal melanjutkan pengajian dalam Sarjana Muda Teknologi Automotif di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang dijangka pada pertengahan bulan ini.
Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, wang pendahuluan yang diterima berkenaan akan dimanfaat bagi pembayaran yuran.
Kemudahan itu amat membantu bakal pelajar sepertinya selain mengurangkan masalah kewangan yang ditanggung ibu.
“Saya baharu sahaja menamatkan latihan praktikal (latihan industri) di sebuah bengkel kereta dan elaun yang diterima digunakan bagi pembelian barangan di universiti kelak.
“Ibu pula kini tidak bekerja serta berstatus ibu tunggal dan sebelum ini saya bimbang juga mengenai kewangan keluarga kerana difahamkan bidang pengajian ini membabitkan kos yang agak tinggi.
“Syukur dipilih terima WPP ini dan saya akan manfaat sepenuhnya bagi pembayaran yuran pengajian,” katanya kepada Harian Metro, di sini.
Mengulas lanjut Ammar berkata, dia mengucapkan terima kasih kepada PTPTN kerana membantu bakal pelajar yang kurang berkemampuan bagi menyambung pengajian ke menara gading.
“Kepada pelajar yang bakal terima WPP, diharap dapat gunakan ia dengan sebaiknya demi mencapai cita-cita seterusnya dapat berbakti kepada negara dan anak bangsa,” katanya yang tinggal di Batu Uban.
Terdahulu, Ammar ditemui ketika Majlis Penyerahan WPP PTPTN di Hotel Royale Chulan, baru-baru ini bersama 20 lagi bakal pelajar dari kawasan Bukit Gelugor yang layak untuk kemasukan ke Universiti Awam (UA) dan Politeknik.
Hadir sama, Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman yang mewakili Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Sebelum itu, Norliza turut melakukan tinjauan mesra dan penyerahan WPP kepada 14 bakal pelajar di tiga lokasi iaitu di Pokok Tampang, Taman Sepadu dan Kubang Menerong di Tasek Gelugor.
Norliza berkata, WPP mula diagih Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 4 September lalu bukan saja bagi meringankan beban kewangan keluarga tetapi juga membantu menampung sebahagian kos persediaan awal bakal pelajar.
Sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), inisiatif itu juga mencerminkan keprihatinan PTPTN dalam memastikan pelajar dapat memulakan pengajian mereka dengan keadaan yang lebih bersedia, teratur dan selesa.
“Sejak WPP diperkenal pada 1999 hingga 31 Julai lalu, seramai lebih 1 juta pelajar sudah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah RM1.48 bilion.
“Bagi kemasukan pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di UA dan Politeknik sesi September 2026, penawaran WPP akan memberi manfaat kepada seramai 26,457 pelajar membabitkan peruntukan berjumlah RM39.7 juta,” katanya.
Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan WPP terbabit di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 4 September 2026 (Jumaat) dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan). Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula 4 September hingga 3 November 2026 (Selasa).
© New Straits Times Press (M) Bhd
