KANGAR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kelewatan bekalan Baja 3 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) diharap dapat merungkai punca sebenar masalah yang menjejaskan kira-kira 60,000 pesawah.
Pengerusi Suara Tani Malaysia, Mohd. Shazwan Suban berkata, siasatan itu juga penting bagi menjawab pelbagai persoalan berkaitan proses perolehan dan pembekalan baja berkenaan.
Katanya, antara perkara yang perlu diperjelaskan termasuk pematuhan pembekal terhadap terma dan syarat kontrak, proses pemantauan serta pengesahan penerimaan bekalan dan spesifikasi baja.
“Apabila berlaku kegagalan pembekalan, apakah tindakan penalti akan dikenakan? Kita juga mahu tahu sama ada terdapat unsur kecuaian, salah guna kuasa, konflik kepentingan atau pelanggaran tatakelola.
“Pesawah mahu tahu punca kelewatan termasuk berkaitan kualiti baja. Kerajaan perlu tegas dan kita mohon SPRM melakukan audit menyeluruh,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau turut menuntut bayaran ganti rugi kepada pesawah terjejas serta pihak bertanggungjawab didedahkan jika wujud salah laku.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan SPRM melakukan siasatan berkaitan isu kelewatan bekalan Baja 3 kepada pesawah di kawasan MADA.
Anwar berkata, permasalahan kelewatan itu yang menyebabkan golongan pesawah menjadi mangsa dan ia tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dibiarkan berulang.
Katanya, jika terdapat sebarang salah laku dikesan, tindakan pembatalan kontrak bekalan termasuk pendakwaan mengikut jalur perundangan negara terhadap pelaku atau mana-mana syarikat terlibat perlu dilakukan.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan kelewatan pembekalan baja kepada pesawah menjejaskan pengeluaran padi tempatan serta menurunkan Kadar Sara Diri (SSR) beras negara.
Dianggarkan kira-kira 40,000 daripada 60,000 pesawah di kawasan MADA masih belum menerima bekalan baja tambahan ketiga, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap hasil tuaian musim semasa.
Keadaan itu turut dibimbangi akan meningkatkan lagi kebergantungan Malaysia terhadap import beras bagi memenuhi permintaan domestik.
Mohd. Shazwan berkata, pesawah bersetuju Perdana Menteri mengarahkan siasatan yang disifatkan wajib dilaksanakan bagi memberi keadilan kepada pesawah.
Katanya, penghantaran baki baja ketika ini dilihat sudah tidak bermakna memandangkan usia tanaman sudah melebihi 80 hari dan kebanyakan kawasan juga sudah dalam proses menuai.
“Pesawah sudah mengalami kerugian ekoran kemerosotan hasil 20 sehingga 40 peratus berikutan kelewatan pembekalan baja itu. Mana ada lagi dalam sejarah seminggu lagi hendak menuai, bekalan baja baru sampai,” katanya.
Seorang pesawah, Zaidi Nasir, 40, pula berkata, siasatan berhubung kelewatan itu perlu dilakukan seterusnya mengenakan tindakan agar masalah seperti ini tidak lagi berulang.
“Isu kelewatan baja sebelum ini adalah kebiasaan namun musim ini situasi agak teruk sehingga pesawah hampir menuai, baja masih tidak sampai-sampai,” katanya.- UTUSAN
