am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Jumlah mangsa banjir di Johor naik mendadak daripada 1,691 orang petang tadi, kepada 3,964 orang membabitkan 917 keluarga.
Setakat 8 malam, 84 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka berbanding 22 buah sebelum ini untuk menempatkan mangsa banjir.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, Kluang sudah dilanda banjir menjadikan lima daerah terjejas setakat ini termasuk Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai dan Pontian.
“Johor Bahru mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir yang paling besar, mencecah 1,288 orang (207 keluarga) ditempatkan di 19 PPS, diikuti Kota Tinggi dengan 733 mangsa (212 keluarga) di 16 PPS dan Pontian meningkat kepada 688 mangsa (192 keluarga) di 19 PPS.
“Jumlah mangsa banjir di Kulai pula 506 orang (159 keluarga) di tujuh PPS dan Kluang mempunyai 479 mangsa (147 keluarga) di 24 PPS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengekalkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi yang dijangka sehingga esok.
Pada masa sama, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Pulai, Sungai Skudai dan Sungai Jemaluang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.
Semua daerah di negeri ini masih dilaporkan hujan setakat 8 malam tadi.
© New Straits Times Press (M) Bhd