alas.yunos@nst.com.my
Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir di tiga negeri meningkat lebih dua kali ganda kepada 1,205 orang daripada 339 keluarga setakat jam 3.20 petang ini, dengan Selangor mengatasi Perak sebagai negeri mencatat jumlah pemindahan tertinggi.
Jumlah itu meningkat berbanding 453 mangsa daripada 127 keluarga yang ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Perak, Selangor dan Sarawak setakat jam 9.30 pagi tadi.
Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Selangor merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 830 orang daripada 231 keluarga di enam PPS.
Perak pula mencatatkan 368 mangsa daripada 107 keluarga di tiga PPS, manakala Sarawak merekodkan tujuh mangsa daripada sebuah keluarga di satu PPS.
Daripada keseluruhan mangsa, 390 adalah wanita, 373 lelaki, 234 kanak-kanak lelaki, 186 kanak-kanak perempuan dan 22 bayi. Jumlah itu turut merangkumi 74 warga emas serta 16 orang kurang upaya (OKU).
Sekolah Kebangsaan (SK) Dato’ Maharaja Lela di Selangor menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 412 orang daripada 117 keluarga, diikuti SK Parit Mahang dengan 241 mangsa daripada 61 keluarga.
Sementara itu, banjir diramalkan melanda Rompin dan Jerantut mulai jam 1 pagi esok hingga 11.59 malam, Sabtu ini.
Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dalam kenyataan memaklumkan banjir berkemungkinan berlaku di kawasan sepanjang lembangan Sungai Rompin dan Sungai Pahang, khususnya kawasan rendah serta lokasi yang mudah dilanda banjir.
Ramalan itu dikeluarkan susulan amaran hujan berterusan pada tahap waspada oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada jam 8.30 pagi semalam, selain berdasarkan model ramalan banjir JPS.
© New Straits Times Press (M) Bhd