Maniam tabik prestasi pemain PDRM

Maniam tabik prestasi pemain PDRM

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Pengendali Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC, P Maniam ternyata gembira dengan persembahan pemain pasukan itu selepas berjaya meneruskan momentum baik dengan menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC), 2-1, dalam aski Liga Super, di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, malam tadi.

Selepas menjadi pasukan pertama menyekat kemenangan Johor Darul Ta`zim (JDT) apabila berjaya mengikat skuad Harimau Selatan itu dengan keputusan seri 1-1 pada 31 Julai lalu, skuad Sang Saka Biru meneruskan rentak terbaik untuk mendominasi pertembungan dengan Hobin Jang Hobin.

Bagi Maniam kemenangan malam tadi begitu bermakna kerana ia dapat membantu pasukan itu memperbaiki kedudukan dalam carta liga di tempat kelapan.

“Kemenangan malam ini amat bermakna, namun saya percaya ia terhasil daripada kejayaan kita seri dengan JDT dan itu keyakinan yang kita bahawa untuk berhadapan dengan Negeri Sembilan.

“Walaupun pada separuh masa pertama kita ketinggalan meskipun mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol, tapi pemain tidak patah semangat sebaliknya bangkit dengan persembahan lebih baik pada separuh masa kedua untuk menjaringkan dua gol,” katanya kepada media selepas perlawanan malam tadi.

Dalam aksi itu, jaringan masing-masing daripada Shahrel Fikri Md Fauzi pada minit ke-53 dan Bruno Suzuki, minit ke-57, membantu PDRM FC meraih tiga mata.

Mengulas lanjut, Maniam jelas memuji keseluruhan persembahan anak buahnya itu meskipun akui prestasi pasukan berkenaan setakat ini belum berada pada tahap terbaik dan masih ada ruang untuk ditingkatkan lagi.

“Jika ditanya dari segi kepuasan, bagi saya ia belum lagi kerana masih ada banyak lagi perlawanan yang akan dilalui, tapi tumpuan kita adalah macam mana untuk pastikan prestasi pasukan konsisten.

“Ini tugas penting yang perlu dilaksanakan dan yang utama pemain PDRM perlu bermain sebagai satu pasukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd