Manifesto BN Johor: Tampil 64 tekad, janji 200,000 peluang kerja, dana rumah RM100 juta

Manifesto BN Johor: Tampil 64 tekad, janji 200,000 peluang kerja, dana rumah RM100 juta

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor pada Jumaat melancarkan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16 yang mengandungi 64 tekad, berteraskan enam teras Maju Johor dengan tema ‘Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan’.

Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, setiap tekad dirangka berdasarkan keperluan sebenar rakyat, bermula daripada peluang pekerjaan dan perniagaan kepada perumahan, pendidikan serta kehidupan yang lebih baik. 

Katanya, ia bukan sekadar janji, tetapi dibina atas pengalaman mentadbir, rekod yang telah dibuktikan dan usaha untuk membawa Johor lebih maju.

“Syukur alhamdulillah. Empat tahun lalu, Bangsa Johor memberikan kepercayaan kepada BN untuk memimpin negeri ini. Dalam tempoh itu, banyak yang telah kita usahakan dan capai bersama.

“Berbekalkan pengalaman serta rekod pencapaian tersebut, saya memperkenalkan Manifesto Barisan Nasional Johor yang menggariskan 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Onn Hafiz berkata, antara 11 tekad menarik yang ditawarkan termasuk memperkukuh Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara bersasar dan menyediakan skim bayaran deposit sewaan rumah untuk orang muda.

Selain itu katanya, tekad lain adalah meningkatkan akses pemilikan rumah subsidi menerusi dana RM100 juta dan meneruskan bantuan rumah pertama, masuk rumah serta bantuan sewa rumah serta penyediaan 200,000 peluang pekerjaan.

“Dalam aspek ekonomi, kita juga mahu melonjakkan penyertaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Johor dalam rantaian bekalan pelaburan strategik, selain memperkukuh Dana Pendidikan Orang Muda Johor dengan peruntukan RM100 juta, meneruskan insentif mahasiswa anak Johor serta melaksanakan Program Semarak Isya’.

“Kini, pilihan kembali di tangan rakyat Bangsa Johor. Benih yang telah disemai kini mula membuahkan hasil. Jangan biarkan momentum kemajuan Johor terhenti di pertengahan jalan. 

“Kita telah membina asasnya. Kita telah melihat hasilnya. Kini tiba masanya untuk kita menyempurnakannya,” katanya.

Scroll to Top