suliati@hmetro.com.my
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian Technology Development Corporation Sdn Bhd (MTDC) melancarkan Hab Teknovasi UKM-MTDC, satu kemudahan strategik yang diwujudkan bagi memperkukuh ekosistem inovasi negara melalui pemerkasaan penyelidikan, pembangunan bakat dan keusahawanan teknologi di peringkat universiti.
Hab ini dibangunkan di bawah Signature Program MTDC, hasil kerjasama antara Pusat Pembangunan Keusahawanan dan EKS UKM (UKM-CESMED) serta Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) bagi menyediakan ruang inovatif kepada pelajar, penyelidik serta syarikat pemula akademik.
Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Mohammad Yusof Apdal di FKAB, UKM.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah UKM, Datuk Yeow Wah Chin; Dekan FKAB Profesor Ir. Dr Mohd Syuhaimi Ab Rahman; Naib Presiden Eksekutif, Bahagian Strategi Korporat Kumpulan MTDC, Mariamah Daud dan Pengarah UKM-CESMED, Profesor Madya Dr Muhamad Azry Khoiry.
Mariamah berkata, pihaknya menyalurkan RM250,000 kepada UKM di bawah program berkenaan termasuk pembangunan Maker Lab@UKM yang kini dijenamakan semula sebagai Hab Teknovasi UKM-MTDC.
“Hab ini bukan sekadar ruang fizikal, tetapi menjadi simbol komitmen bersama antara universiti, industri dan agensi kerajaan dalam mempercepat transformasi digital, membangunkan bakat serta mengkomersialkan hasil penyelidikan tempatan,” katanya.
Hab berkenaan menempatkan kemudahan lengkap termasuk makmal prototaip, ruang kerja kolaboratif dan bimbingan industri bagi menyokong usaha pengkomersialan hasil penyelidikan serta pembangunan produk berteknologi tinggi yang bersedia untuk pasaran.
Ia turut dilengkapi peralatan teknologi terkini seperti pencetak tiga dimensi (3D), pemotong laser dan mesin CNC sekali gus membolehkan pelajar mereka bentuk prototaip awal, menguji penyelesaian serta menzahirkan idea disruptif dalam bidang kejuruteraan, teknologi pintar dan kelestarian.
Selain itu, ia juga menjadi pelantar kepada pelaksanaan program Deep Tech@UKM yang menerima Dana Keusahawanan KPT 2025 sebanyak RM97,000 untuk melatih pelajar dalam teknologi mendalam (deep tech), seiring cabaran Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) dan aspirasi negara melahirkan bakat berdaya saing di peringkat global.
Matlamat utama Deep Tech@UKM ini adalah membangunkan syarikat pemula pelajar berasaskan teknologi, seterusnya mengukuhkan lagi ekosistem inovasi dan keusahawanan di universiti.
Sementara itu, Datuk Yeow Wah Chin menyifatkan penubuhan hab itu bukti komitmen UKM dalam menyemai budaya inovasi dalam kalangan mahasiswa.
Katanya, hub itu juga memperkukuh peranan universiti sebagai penggerak utama ekosistem teknologi dan keusahawanan negara.
“Inisiatif ini sejajar dengan Pelan Strategik MOSTI 2024-2030 yang menekankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berorientasikan misi, kolaborasi awam-swasta, serta inovasi yang inklusif.
“Ia juga menyokong sasaran UKM untuk meningkatkan bilangan syarikat pemula yang diterajui pelajar dan projek keusahawanan berimpak tinggi,” katanya.
Hab Teknovasi UKM-MTDC dijangka menjadi pusat rujukan dan pemangkin utama dalam pembangunan inovasi akademik, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi serantau melalui kolaborasi universiti dengan industri yang mampan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




