Maresca sokong Haaland isu jadual padat

Porto: Pengendali Manchester City, Enzo Maresca mengakui pemain yang beraksi di Piala Dunia menghadapi kesukaran untuk mendapatkan semula prestasi terbaik pada awal musim berikutan jadual pertandingan yang padat.

Maresca berkata, mendapatkan semula rentak permainan bukan sesuatu yang mudah buat pemainnya menjelang aksi pembukaan Liga Juara-Juara menentang Porto di Stadium Dragao, awal pagi esok.

“Saya rasa apa yang anda lihat terhadap pemain seperti ini adalah betul, mereka mula berasa letih,” kata Maresca.

Pengendali itu mengulas kenyataan Erling Haaland yang dimuat naik penyerang berkenaan menerusi saluran YouTubenya awal hari ini.

Haaland sudah menjaringkan tiga gol dalam tiga aksi liga musim ini, namun tidak beraksi dalam perlawanan pemanas badan selepas membantu Norway mara ke suku akhir Piala Dunia.

“Musim baharu bermula dan saya langsung tidak mempunyai pramusim. Biasanya saya mempunyai sedikit tempoh pramusim tetapi kali ini langsung tiada.

“Dari segi fizikal, ia akan kembali jika anda berjaya mengelakkan kecederaan, tetapi anda juga perlu tajam dari segi mental dan itu bukan sesuatu yang mudah.

“Kami perlu mempunyai perasaan teruja untuk kembali, tetapi kami tidak memilikinya kerana tiada masa untuk benar-benar menjauhkan diri daripada bola sepak kerana terlalu banyak perlawanan dan musim juga semakin panjang.

“Saya tidak mengeluh kerana masih satu perkara positif apabila dapat bermain bola sepak sepanjang tahun dan mencari rezeki daripadanya.

“Tetapi kadangkala kami juga memerlukan rehat.

“Saya tidak pernah bermain di Piala Dunia sebelum ini, jadi saya tidak tahu bagaimana keadaannya,” kata Haaland.

Maresca menyatakan simpati terhadap situasi yang dihadapi pemainnya dan mengakui rehat perlu diberikan mengikut keadaan.

“Ia bukan mudah buat mereka, bukan mudah buat Erling dan bukan mudah buat kebanyakan pemain yang terus bermain untuk pasukan kebangsaan masing-masing.

“Adalah wajar untuk memberikan mereka sedikit rehat, mungkin satu perlawanan atau seminggu, bergantung kepada keadaan dan waktu.

“Apabila terlalu fokus kepada hari demi hari, ia menjadi sangat rumit untuk memikirkan di mana kami akan berada pada Februari, Mac atau April dari segi jangkaan.

“Perkara paling penting adalah melihat kami terus meningkat dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top