am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon senior, Marissa Yasmin, 48, mengakui selesa dengan kehidupannya sekarang dan belum terfikir untuk mencari pengganti selepas hampir sedekad menjalani kehidupan solo.
Marissa atau pemilik nama Marissa Yasmin Mariam Yaakob berkata, pengalaman melalui fasa sukar dalam rumah tangga sebelum ini membuatkan dia lebih menghargai kehidupan yang dilalui sekarang.
“Setakat ini, saya memang tidak terfikir untuk mencari pengganti. Kalau sekadar saja-saja mahu mencari pasangan, bagi saya itu tidak perlu.
“Pada usia sekarang, saya mahu menjalani hidup dengan tenang. Saya selesa dengan apa yang Allah SWT berikan kerana saya mampu melakukan banyak perkara sendiri dan mengejar apa yang diinginkan, jadi buat apa saya mahu mencari masalah lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis Together Gather dan Iftar anjuran Viu.
Ditanya sama ada dia berasa sunyi terutama pada Ramadan ini, Marissa akui hidupnya sentiasa dipenuhi dengan kehadiran ahli keluarga yang besar.
“Saya tidak pernah rasa sunyi walaupun tanpa suami dan anak kerana masih ada ibu bapa dan nenek yang berusia 90 tahun.
“Hidup saya memang didedikasikan buat keluarga selagi mereka masih hidup. Selain itu, saya juga mempunyai adik-beradik, sepupu serta anak saudara yang ramai,” katanya.
Bagaimanapun, kata pelakon siri Walid ini, dia tidak menolak takdir sekiranya bertemu jodoh sekali lagi.
“Jika ada insan yang Allah SWT hadirkan itu benar-benar melengkapi hidup saya, itu berbeza. Tetapi jika saya pula yang perlu berusaha melengkapkan dirinya untuk menjadi sempurna, bagi saya itu tidak perlu.
“Pada usia sekarang, usaha ke arah itu memerlukan komitmen yang sangat besar,” katanya.
Untuk rekod, Marissa pernah berkahwin dengan Muhzir Mohd Zainuddin yang juga Pengurus Jualan Teknologi Maklumat pada 2010 tetapi bercerai talak satu pada 14 Januari 2016 serta tidak dikurniakan cahaya mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




