Maritim Malaysia mantapkan operasi guna AI

Maritim Malaysia mantapkan operasi guna AI

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini beralih arah budaya kerja ‘thinking ahead to get ahead’ (berfikir jauh ke hadapan untuk lebih di hadapan) bagi memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terjamin.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, setiap pegawai dan anggota perlu sentiasa selangkah di hadapan dalam mendepani landskap keselamatan maritim yang semakin mencabar.

“Kalau kita hanya bertindak selepas sesuatu berlaku, kita sudah ketinggalan. Kita perlu merancang lebih awal, melihat selangkah ke hadapan termasuk dalam aspek operasi, logistik dan pembangunan modal insan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas hasrat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, semalam.

Mengulas lanjut mengenai pemodenan agensi, Mohd Rosli menegaskan bahawa penggunaan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi keperluan strategik dan bukan lagi sekadar pilihan.

Jelasnya, teknologi AI akan membantu agensi mengenal pasti kekuatan aset, mengesan jurang keperluan, serta merancang penugasan dan penyelenggaraan logistik secara lebih sistematik.

“Soalnya bukan lagi sama ada mahu guna atau tidak, tetapi sejauh mana kita bersedia untuk menguasainya,” tegas beliau.

Dalam perkembangan berasingan, Mohd Rosli turut menyempurnakan Majlis Penyampaian Bingkisan Aidilfitri anjuran PUSPANITA Cawangan Kecil Maritim Malaysia di Ibu Pejabat Maritim Malaysia, tengah hari tadi.

Sebanyak hampir 1,000 bungkusan akan diagihkan kepada pegawai dan anggota yang bertugas di barisan hadapan di seluruh negara, termasuk mereka yang berada di atas kapal dan bot sepanjang musim perayaan ini.

“Ingatlah, pengorbanan anda bukan sia-sia. Laksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan dan integriti demi Malaysia tercinta,” pesannya kepada warga Maritim Malaysia.

Hadir sama pada majlis itu adalah Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman.

caption

Pix 1; Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, .

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top