Iran lancar gelombang serangan baharu ke Israel, letupan kedengaran di Tel Aviv

Iran lancar gelombang serangan baharu ke Israel, letupan kedengaran di Tel Aviv

Baitulmaqdis: Gelombang terbaharu serangan peluru berpandu Iran menyebabkan beberapa letupan di seluruh Tel Aviv serta kerosakan di kawasan tengah Israel pada Khamis.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan penduduk dibenarkan keluar dari tempat perlindungan.

Media rasmi Iran melaporkan peluru berpandu dilancarkan ke arah sasaran di tengah Tel Aviv, selepas tentera Israel memaklumkan sedang berusaha memintas serangan peluru berpandu yang dilancarkan Iran.

Wartawan AFP melaporkan dua gelombang letupan yang berlaku hampir serentak dan bergema di seluruh bandar itu.

Jejak roket turut menerangi langit di Netanya, sebuah bandar di utara Tel Aviv di pesisir Mediterranean Israel.

Susulan serangan itu, perkhidmatan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA) memaklumkan pasukannya mengunjungi beberapa lokasi terjejas, namun tiada kecederaan dilaporkan.

MDA turut mengeluarkan rakaman sebuah bangunan kediaman di tengah Israel, di mana kawasan halamannya dipercayai terkena serangan sehingga beberapa pokok tumbang serta kerosakan lain, namun bangunan itu kekal utuh.

Polis Israel berkata, pihaknya ketika ini mengendalikan beberapa lokasi serangan sambil menambah bahawa terdapat kerosakan namun tiada kecederaan dilaporkan.

Tentera Israel turut mengeluarkan kenyataan yang membenarkan orang ramai keluar dari tempat perlindungan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top