Maritim Malaysia siasat jika ada pelanggaran syarat

bhnews@bh.com.my

CHUKAI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menyiasat sama ada bot dinaiki enam pemancing yang ditemui selamat pagi tadi, melakukan pelanggaran syarat lesen.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim, Rashidilhadi Abd Rashid, berkata pihaknya akan turut menyiasat dari pelbagai aspek lain bagi mengelak kejadian sama berulang.

“Kita akan menyiasat segala aspek termasuk adakah bot terbabit mempunyai permit kebenaran membawa pemancing dan penggunaan jaket keselamatan.

“Siasatan akan dijalankan mengikut seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 termasuk di bawah Ordinan Perkapalan Malaysia,” katanya pada sidang media di Pejabat Maritim Malaysia Kemaman, petang tadi.

Rashidilhadi berkata, bot yang dinaiki enam nelayan terbabit yang gagal dihubungi sejak Isnin lalu ditemui selamat kira-kira 50 batu nautika dari utara Pulau Tioman, kira-kira jam 8.30 pagi tadi.

“Bot terbabit mengalami kerosakan bahagian kipas sebelum hanyut ke arah Pulau Tioman dan ditemui oleh sebuah bot nelayan Kuantan.

“Bot nelayan itu kemudian menunda bot yang rosak itu dan selamat sampai di jeti Pasukan Polis Marin Wilayah, 3, Kuantan, kira-kira jam 1.15 petang tadi,” katanya.

Kesemua pemancing terbabit kemudian menjalani pemeriksaan kesihatan oleh pegawai perubatan di jeti.

“Kesemua ahli keluarga mangsa yang dimaklumkan dengan penemuan itu bergegas ke Kuantan untuk menyambut kepulangan kesemua mangsa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd